Home > Dewan Negara > Ucapan Bajet 2010: Persoalkan ‘Bajet Tambahan’ dan Kelab Diraja Selangor

Ucapan Bajet 2010: Persoalkan ‘Bajet Tambahan’ dan Kelab Diraja Selangor

Ucapan YBM Tunku Abdul Aziz Ibrahim di Dewan Negara ketika membahaskan Bajet 2010 pada 16 Disember 2010.

Terima kasih Yang Dipertua kerana mengizinkan saya membahaskan Bajet 2010.

Di dalam perbahasan ini, saya ingin hanya menyentuh dua perkara.

Pertamanya ialah mengenai Petunjuk Indeks Prestasi atau lebih dikenali dengan singkatannya KPI, dengan izin.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menanamkan disiplin terhadap anggota cabinet beliau mengenai penilaian prestasi dan selaras dengan moto barunya, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Saya kira sudah masanya beliau untuk melakukan sebegitu dan bersikap serius dan bukan gimik politik.

Saya merasakan Bajet ialah suatu yang mempengaruhi gelagat pihak-pihak yang melaksanakannya. Apabila sesuatu bajet dibentangkan, kemudiannya diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini, ia seharusnya dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Kita harus sedar bahawa peruntukan yang diluluskan ini ialah wang rakyat dan ia adalah satu amanah.

Bagi pihak yang melaksanakannya, mereka seharusnya memastikan bahawa kementerian mereka dapat menjayakan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada peruntukan tersebut.

Di dalam Kementerian Kewangan, saya mendapati terdapat satu bahagian yang dinamakan Bajet Tambahan atau Supplementary Budget, dengan izin.

Saya ingin penjelasan kepada Menteri Kewangan, apakah tujuannya mempunyai Bajet Tambahan apabila kita sudah pun meluluskan Bajet untuk tahun berkenaan?

Selain itu, apabila kita membincangkan mengenai Bajet, apa yang sering ditekankan kepada rakyat ialah mengenai subsidi dan gula-gula kepada rakyat.

Pada tahun 2008, RM34 bilion dibelanjakan untuk subsidi. Subsidi bertujuan untuk membantu Pada tahun 2009 pula, sebanyak RM47.8 bilion diperuntukkan bagi tujuan ‘pendidikan dan latihan’. Jumlah ini bersamaan RM8,000 diperuntukkan untuk mendidik setiap seorang murid yang berada di bangku sekolah.

Saya ingin bertanya kepada YB Menteri Pendidikan, kenapa pula ramai para ibubapa merasakan diri terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta atau kelas tuisyen? “Apa sudah terjadi kepada duit semua itu?”

Melihat kepada laporan media arus perdana, mereka hanya menjurus dan memfokuskan kepada ‘gula-gula’ kerana perkara itu akan mengelak daripada perbincangan dan perdebatan mengenai isu-isu yang lebih mustahak termasuk akauntabiliti dan pilihan.

Seperti yang diketahui, media arus perdana akan berat sebelah dalam laporan mereka dengan tidak mengenengahkan bidangan makroekonomik yang dibelanjakan oleh kerajaan berjumlah RM200 bilion setiap tahun itu. Perbelanjaan termasuk penyediaan infrastruktur yang melibatkan pengangkutan, utiliti, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertahanan bagi keperluan rakyat dan rangsangan ekonomi.

Tuan yang Dipertua,

Sistem yang ada di Malaysia tidak cukup kondusif dalam membincangkan bajet yang dibentangkan sungguhpun di dalam Dewan Rakyat. Tidak seperti di Britain dan Australia, kedua negara itu mempunyai jawatankuasa khusus di dalam setiap kementerian yang menjurus kepada perdebatan.

Jawatankuasa itu diwakili oleh pelbagai parti politik. Di dalam tempoh perkhidmatan ahli-ahli parlimen ini, mereka diberikan tugasan dalam memperlihatkan kemajuan dan mengkritik peningkatan di dalam kementerian yang mereka tugaskan. Dengan itu, rakyat dan para pengundi boleh melihat bagaimana wakil-wakil rakyat mereka menyumbang dan memberi khidmat.

Saya ingin bertanya kepada YB Menteri, apakah tujuan utama penekanan terhadap gula-gula di dalam Bajet di mana terdapat banyak lagi perkara yang lebih penting yang dapat ditekankan bagi pengetahuan rakyat?

Tuan Yang Dipertua,

Di dalam bidang korporat pula, lembaga pengarah bertanggungjawab dalam memastikan peruntukan tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya. Sekiranya terdapat kekurangan di dalam bajet dan memohon kepada penambahan dalam peruntukan, mereka haruslah membentangkan peratus pulangan yang dapat dicapai dengan pelaburan tambahan yang dikeluarkan.

Di dalam praktis kita di dalam Kementerian Kewangan, pemantauan terhadap peruntukan tersebut agak lemah.

Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Menteri Kewangan; di dalam bajet lepas, kementerian yang manakah yang memohon bajet tambahan, jumlahnya dan apakah peratus pulangan, atau R.O.I, dengan izin yang diperolehi daripada tambahan tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

Terdapat juga kes di mana sesuatu bajet yang diluluskan itu tidak dapat dihabiskan dalam jangkamasa setahun. Maksud saya terdapat baki. Justeru, kita dapati pihak kementerian akan mengadakan pelbagai program-program seperti seminar dengan objektif yang tidak jelas, hanya bertujuan untuk membelanjakan bajet yang diperuntukkan. Dengan itu, mereka tidak akan dipersoalkan apabila terkurang dalam menggunakan peruntukan. Mereka juga takut bajet tahun yang berikutnya tidak mendapat kelulusan.

Bolehkah Menteri Kewangan menjelaskannya dan berikan senarai seminar-seminar yang dianjurkan oleh kementerian dalam bulan terakhir kalendar?

Saya tidak mahu KPI yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri hanya menjadi bahan di mulut sahaja. Pernah suatu ketika dahulu, kita diperkenalkan dengan terma seperti Long Range Strategic Forecasting dan Management by Objectives, dengan izin. Bolehkah saya minta penjelasan daripada Menteri Sumber Manusia, apakah yang sudah terjadi kepada cara pengurusan berkenaan? Adakah YB Menteri mengakui cara pengurusan sedemikian gagal?

Tuan Yang Dipertua,

Perkara kedua yang saya ingin mengambil perhatian Dewan yang Mulia ini ialah mengenai sebuah bangunan warisan Negara berusia 425 tahun tetapi kita tidak dapat menggunakan sepenuhnya warisan tersebut.

Bangunan yang saya maksudkan ialah Kelab Diraja Selangor yang bertempat di Jalan Raja, Kuala Lumpur dan membelakangi Dataran Merdeka yang masih digunakan sehingga sekarang sebagai tapak bersejarah. Di padang tersebutlah, buat pertama kalinya bendera Federation dikibarkan pada tengah malam 30 Ogos 1957.

Sebelum bangunan tersebut menjadi sebuah kelab sukan khususnya kriket, kawasan tersebut digunakan oleh anggota polis untuk berlatih kawat dan sebagainya. Oleh itu, kawasan tersebut amat meberi makna kepada sejarah perkembangan polis. Kelab Diraja Selangor bagi aktiviti sukan sekarang sudah dipindahkan ke Bukit Kiara dan kelab di Jalan Raja hanya khusus untuk segelintir ahli-ahli kelab untuk berehat.

Memandangkan fungsi Kelab Diraja Selangor tidak lagi memberi manfaat kepada ahli-ahli, saya ingin mencadangkan kepada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk mengiktiraf bangunan tesebut sebagai satu khazanah Negara.

Tuan yang Dipertua,

Di dalam Rancangan Malaysia ke 10, kita mendapati terdapat peruntukan untuk membina muzium polis baru bagi menggantikan muzium polis yang ada sekarang. Saya ingin mencadangkan kepada YB Menteri untuk menjimatkan peruntukan tersebut daripada membina sebuah muzium yang baru dan menggunakan peruntukan tesebut untuk memberi pampasan kepada Kelab Diraja Selangor atas baki tempoh bayaran kepada tapak dan bangunan berkenaan.

Sekiranya dijadikan muzim polis, bangunan berkenaan akan memberi lebih banyak nostalgia kepada sejarah kepolisian Negara yang sesungguhnya banyak berkhidmat dalam menjaga keselamatan Negara. Memandangkan kawasan tersebut merupakan pusat kehidupan sivik, saya kira ia amat strategik bagi membina sebuah memorial kepada pihak polis atas sumbangan mereka.

Categories: Dewan Negara Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.
You must be logged in to post a comment.