Ucapan Dewan Negara: Rang Undang-undang Labuan
Ucapan YBM Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim di Dewan Negara pada 22 Disember 2009
Tuan Yang Dipertua
Terima kasih kerana membenarkan saya membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Pindaan) 2009.
Kerajaan telah mengisytiharkan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984 yang bertujuan untuk mewujudkan Pusat Kewangan Persisiran Pantai dan bersaing dengan Singapura. Ciri-ciri penting pusat ini untuk urustadbir mudah dan penyeliaan dengan mempunyai kerahsiaan. Pusat kewangan sebegini juga mestilah berada dalam sebuah Negara yang stabil dari segi politiknya dan populasi aman. Selain itu, tenaga kerja berpusat kepada perkhidmatan dan professional dan bercirikan Pelancongan juga amat penting.
Saya ingin mengambil perhatian daripada pihak Dewan yang Mulia ini bahawa Negara Korea Selatan telah pun menetapkan Labuan sebagai pusat perlindungan cukai dalam satu senarai hitam atau pun blacklist, dengan izin. Selain Korea Selatan, Negara-negara Eropah melalui OECD juga telah mengesyaki Labuan sebagai sebuah pusat perlindungan cukai yang boleh mendatangkan keburukan.
Pada 30 Jun 2006, Ministry of Finance and Economy Korea Selatan meletakkan Labuan di dalam senarai hitam dan untuk pengetahuan Tuan Yang Dipertua, hanya Malaysia terletak di dalam senarai hitam.
Bolehkah Kementerian Kewangan menjelaskan perkara ini dan sekiranya ya, apakah punca-punca sehingga kita di senarai hitam kan?
Sekiranya kita menggunakan statistic yang dikeluarkan oleh Labuan Offshore Financial Centre (LOFSA) pada tahun 2006, syarikat-syarikat yang beroperasi di Labuan hanya berjumlah 60% sahaja iaitu sebanyak 4,121 yang mana lainnya tidak beroperasi atau pun berkubur.
Pada tahun 2008, British Virgin Islands sudah pun mempunyai 400,000 syarikat beroperasi dan sekiranya berbanding dengan Malaysia, kita hanya 1% berbanding dengan Negara tersebut. Mengikut maklumat, kita telah membelanjakan RM1 billion untuk 20 tahun dan kita hanya mencapai 1% daripada British Virgin Island dalam tempoh jangkamasa yang sama.
Tuan Yang Dipertua,
Di Labuan, kita mempunyai 300 institusi kewangan bertapak di Labuan tetapi hanya terdapat 4.121 pelanggan. Oleh itu, kita hanyalah memainkan peranan sebgai hartanah. Dan tidak mustahil kita akan menjadi sebuah lagi mini Cyberjaya yang mempunyai bangunan yang tersergam tetapi kosong.
Saya kira, di dalam Rang Undang-undang Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Pindaan) 2009, kita perlu menekankan bahawa pindaan yang dibuat haruslah selaras dengan syarat-syarat di dalam OECD. Antaranya, kita haruslah memastikan bahawa aktiviti-aktiviti yang tidak berlandaskan undang-undang perlulah dibendung. Kita juga memastikan bahawa kita mempunyai perkongsian maklumat dengan Negara-negara jiran.
Begitu juga bagi Rang Undang-undang Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan (Pindaan) juga, kita memastikan dapat menangani kekurangan di dalam syarat cukai berganda atau double tax treaty loophole, dengan izin.
Tuan yang Dipertua,
Kita perlu menerima hakikat bahawa Labuan ialah satu lagi sebuah projek gajah putih yang gagal.
Justeru, saya ingin mendapat komitmen daripada pihak kementerian, sajauh manakah kerajaan sanggup bersikap telus dalam mendedahkan keseluruhan perbelanjaan awam yang telah dikeluarkan di Labuan.
Saya juga ingin pihak kementerian membentangkan kajian mengenai prestasi yang dibuat berhubung dengan Labuan berbanding dengan OFC.
Cuma, harapan kita bagi bersaing dengan Singapura ialah untuk memfokuskan dalam urusan perbbankan Islam seperti yang terkandung di dalam Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam dan mewujudkan Shariah Supervisory Council, dengan izin.
Sekian, terima kasih.