Archive

Archive for July, 2010

Malaysia Tiada Rifle Tempatan

July 29th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 29 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan apakah dasar Malaysia tidak mereka membangunkan rifle buatan tempatan. Apakah status dan masalah dalam menghasilkan M4 oleh SMEO.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Penglibatan Malaysia dalam bidang Industri Pertahanan telah bermula sejak tahun 1970an. Malaysia juga telah berjaya meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang industri pertahanan termasuk di dalam sektor pembuatan, penyenggaraan, baik pulih, fabrikasi dan pemasangan komponen.

Pada masa kini, syarikat industri pertahanan tempatan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan bahan dan alat pertahanan sendiri seperti:

a) bahan letupan jenis caliber kecil, sederhana dan besar bagi kegunaan artileri.
b) Bom-bom pesawat udara.
c) Pengeluaran produk piroteknik, dakwat, fius bom tangan dan baik pulih pelbagai jenis bom.

Syarikat industri pertahanan khususnya SMEOrdinance Sdn Bhd (SMEO) berpotensi untuk mengeluarkan semua jenis laras kecil dan sederhana (small and medium caliber) dan terlibat dalam pengeluaran senjata Steyr, Tactical Machine Pistol (TMP) dan pistol.

Aspirasi Kerajaan untuk membangunkan industri pertahanan tempatan termaktub dalam Dasar Pertahanan Negara. Keupayaan berdikari merupakan teras pembangunan Industri Pertahanan Negara. Adalah menjadi hasrat Kerajaan melahirkan industri pertahanan yang berkeupayaan tinggi dalam bidang persenjataan dan pembaikpulihan. Ia bertujuan untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap pembekal luar negara. Namun begitu, Kerajaan tidak menafikan kekangan yang dihadapi dalam usaha membangunkan industri pertahanan tempatan terutamanya dari segi pembangunan teknologi terkini, pelaburan yang tinggi, spesifikasi yang rigid, pasaran yang terhad dan persaingan yang tinggi dengan negara-negara berteknologi tinggi. Kementerian Pertahanan akan sentiasa berusaha bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk membina industri pertahanan tempatan yang maju dan mempunyai keupayaan berdikari.

Buat masa ini, SMEO sedang di dalam peringkat akhir perbincangan untuk mendapatkan lesen mengilang (Manufacturing Licence Agreement-MLA) dari Colt Defence LLC. Perbincangan MLA ini dalam proses semakan akhir sebelum dimajukan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat. Selain itu, SMEO juga telah menandatangani Representative Agreement dan Techinical Assistance Agreemet dengan pihak Colt Defence LLC. Di dalam draf MLA ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa SMEO akan melaksanakan sehingga 80 peratus kandungan tempatan dalam pengeluaran dan pemasangan senjata jenis Colt M4 Carbine ini.

Projek Perolehan AV-8

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN BUKAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan projek perolehan 257 buah AV-8 dari DEFTECH dari egi kesesuaian dan ‘cost-effective’ 8×8 berbanding dengan 6×6 kereta perisai, bilangan AV-8 dan anggaran perbelanjaan diperlukan untuk mengganti semua kereta perisai Condor dan Sibmas serta kenapa kereta perisai Pars dipilih sebagai model, bukan Rosomak dri Poland.

JAWAPAN:

Model Rosomak dan Pars telah diuji nilai oleh Kementerian pertahanan dan mendapati kedua-duanya mempunyai kemampuan yang setanding. Bagaimanapun, model Pars dipilih berdasarkan kepada tawaran yang lebih baik serta menyumbang kepada peningkatan industri pertahanan negara.

Keperluan penggantian kereta perisai Condor dan Sibmas adalah melibatkan empat (4) Rejimen Kavalri dan satu (1) Batalion Infantri Mekanis. Bagi fasa pertama, Kerajaan hanya akan membuat perolehan untuk dua (2) Rejimen Kavalri dan satu (1) Batalion Infantri Mekanis sahaja yang melibatkan 257 unit kenderaan dengan anggaran kos sebanyak RM7.983 bilion (hamper RM8.0 bilion) serta mengambil tempoh selama tujuh (7) tahun proses pelaksanaannya. Setakat ini, harga bagi perolehan inimasih di peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan lagi oleh Kerajaan.

Di antara taawaran yang telah dipersetujui oleh piak pembekal Pars adalah seperti berikut:

i) Pemasangan kenderaan ini dibuat di Malaysia dengan sejumlah komponen menggunakan produk tempatan;

ii) Intellectual Property Rights (IPR) dimiliki oleh Syarikat Tempatan bagi membolehkan Malaysia memasarkan kenderaan perisai ini di negara-negara lain terutama Asia Tenggara; dan

iii) Membenarkan sebahagian dari komponen-komponen sokongan diperolehi dan secara langsung mampu meningkatkan keupayaan industri pertahanan negara.

Pertikaian Keudalatan Kepulauan Spratly

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan pendirian Kerajaan terhadap cadangan menyatukan semua penuntut ASEAN terhadap Spratly Asia Tenggara supaya menggunakan satu entiti untuk berunding dengan negara China dalam masalah pertikaian kedaulatan. Pernahkah pihak TLDM menjejaki kapal perang / penguatkuasa China memasuki kawasan EEZ Malaysia tanpa notis.

JAWAPAN:

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Mulia Senator Tunku Abdul Aziz di atas soalan yang dikemukakan.

2. Seperti yang telah dimaklumkan di dalam dewan yang mulia ini sebelum ini, wujud tuntutan bertindih kawasan maritim dan tuntutan bertindih ke atas ciri-ciri geografi di kawasan Laut China Selatan. Tuntutan bertindih di Laut China Selatan ini melibatkan Malaysia, Vietnam, Brunei Darussalam, Filipina dan Republik Rakyat China. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Republik Rakyat China menuntut keseluruhan laut China Selatan termasuklah Kepulauan Spratlys.

3. Seperti yang telah dimaklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, isu berhubung tuntutan ke atas pulau-pulau, terumbu dan kawasan maritim ini ditangani berasaskan kpeada semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China pada 4 November 2002. Melalui Deklarasi ini, pihak-pihak yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan bertekad untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan berhubung tuntutan wilayah maritim bertindih di Laut China Selatan secara damai melalui jalan perundingan tanpa menggunakan kekerasan atau pun ugutan. Dalam masa yang sama, usaha-usaha juga diambil bagi membina keyakinan (confidence building) di antara negara-negara yang terlibat, Dalam hal ini, sukacita saya ingin memaklumkan perbincangan sedang dijalankan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kerjasama di bawah kerangka DOC bagi mengingkatkan keyakinan dan mengelakkan ketegangan di kawasan Laut China Selatan.

Tuan Yang Di-Pertua,

4. Malaysia sentiasa peka dengan isu-isu yang melibatkan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau dan wilayah Malaysia. Usaha-usaha sentiasa dilaksanakan demi mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim berkenaan. Malaysia percaya penyelesaian kepada isu tuntutan bertindih boleh dicapai melalui perbincangan secara damai tanpa menggunakan kekerasan. Dala hal ini, Malaysia sentiasa mewujudkan rundingan dua hala dengan negara jirannya bagi membataskan sempadan di kawasan di mana belum ada lagi perjanjian sempadan maritim. Malaysia berpendirian bahawa tuntutan bertindih wajar diselesaikan secara rundingan dua hala dan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilah Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian.

5. Dalam masa yang sama, Malaysia juga sentiasa mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku. Pada masa ini, Malaysia berpandangan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan wajar diselesaikan secara dua hala atau pelbagai hala dan hanya melibatkan negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih. Pada masa ini, tidak ada sebarang cadangan daripada mana-mana negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih untuk bergabung sebagai satu entiti dan beruding dengan Republik Rakyat China.

Tuan Yang Di-Pertua,

6. Berhubung dengan isu sama ada pihak Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menjejaki kapal perang / penguat kuasa Republik Rakyat China memasuki zon ekonomi eksklusif Malaysia tanpa notis, sukacita saya ingin maklumkan bahawa Malaysia menjalankan rondaan dan pengawasan secara berterusan di kawasan maritim yang dituntut di Laut China Selatan. Dalam masa yang sama, peruntukan undang-undang antarabangsa membolehkan kapal-kapal belayar di lautan di bawah prinsip freedom of navigation tanpa perlu memohon kebenaran sesebuah negar berpantai. Dalam masa yang sama, kapal-kapal yang menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan prinsip navigation, seperti menjalankan kajian saintifik marin dan sebagainya di dalam kawasan zon ekonomi eksklusif Malaysia, akan diambil tindakan sewajarnya, Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan bahawa pihak TLDM sentiasa memantau aktiviti-aktiviti kapal perang negara-negara luar di kawasan maritim Malaysia di Laut China Selatan.

Sekian, terima kasih.

UNDI POS PRU SIBU

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM Minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimana bagi Kod 708 (Polis) di mana enam dikeluarkan 24 kertas undi dipulangkan, Kod 429 (tentera) dikeluarkan 160 kertas undi an 161 dipulangkan, Kod 43 (tentera), 47 kertas undi dikeluarkan dan 67 kertas undi dipulangkan (Pilihan Raya Kecil Sibu).

JAWAPAN:

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, jumlah kertas undi pos yang dikeluarkan kepada pengundi pos tentera, polis dan petugas-petugas SPR pada 12 Mei 2010 untuk Pilihan Raya Kecil P.212 Sibu adalah berjumlah 2,827. Ini termasuk pengeluaran kepada anggota tentera sebanyak 1,910, anggota polis sebanyak 627 dan petugas-petugas SPR sebanyak 290. Sehingga jam 5 petang, iaitu selepas tempoh pengundian ditutup pada 16 Mei 2010, sejumlah 2,637 kertas undi pos (Sampul B) sahaja yang diterima balik oleh Pegawai Pengurus. Manakala bakinya sebanyak 190 kertas undi pos tidak dikembalikan. Jumlah diterima balik dari tentera sebanyak 1879, polis sebanyak 596 dan petugas-petugas SPR sebanyak 162. Oleh itu, soal kertas undi yang diterima balik melebihi daripada jumlah yang dikeluarkan tidak berbangkit sama sekali.

Sekian, terima kasih.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags:

Pembelian Frigat Batch 2

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN BUKAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan status perbincangan antara Bae dan kerajaan Malaysia mengenai pembelian 2 buah Frigat Batch 2:-

a) berapa diperuntukkan dalam pembelian kapal perang ini; dan
b) adakah kedua-dua frigat baru ini akan dibina oleh syarikat tempatan dan apakah status LOI ditandatangani pada tahun 2006.

JAWAPAN:

Perolehan dua (2) buah kapal Frigat Kelas Jebat Kedia adalah kesinambungan dari Batch Pertama iaitu KD Jebat dan KD Lekiu yang dibina oleh BAE Systems, United Kingdom. Kapal Frigat Batch Pertama ini telah menunjukkan prestasi operasi yang sangat baik dan mempunyai keupayaan yang tinggi. Perolehan dua (2) buah kapal Frigat daripada kelas yang sama akan dapat meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, keseragaman kapal frigat akan menguntungkan dari aspek mengurangkan kos logistik dan selenggaraan.

Walaupun LOI telah ditandatangani pada tahun 2006, rundingan kontrak dengan BAE telah dihentikan pada tahun 2008 kerana ketiadaan peruntukan dalam RMK-9. Sekiranya peruntukan disediakan di dalam RMK-10, perolehan ini akan dapat diteruskan dan konsep pembinaan dalam negara serta syarikat tempatan akan diputuskan kemudian kelak.

EPISOD 4 &5 ISU BAKUN DI RTM2

July 27th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 27 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan alasan memberhentikan Episod 4 dan 5 isu Bakun di Galeri Mandarin Nasional di TV2 seperti yang disiarkan di Internet oleh penerbitnya, Chou Z Lam.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Pembatalan dan keputusan menarik balik penyiaran dokumentari yang membincangkan masalah penduduk di tapak pembinaan Empangan Bakun dibuat secara professional memandangkan ia tidak mematuhi Garis Panduan Siaran RTM selain tidak memuatkan tujuan sebenar projek dan faedahnya kepada negara. Berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) penyediaan sesuatu program, RTM bertanggungjawab memastikan rakyat mendapat maklumat yang seimbang tentang projek-projek yang dilaksanakan.

Dept Tahanan Imigresen

July 27th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 27 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan satus pengubahsuaian Depot Tahanan Imigresen Semenyih, kapasiti setiap Depot Tahanan Imigresen dan bilangan tahanan dalam setiap depot tahanan sekarang.

JAWAPAN:

Tuan yang Di-Pertua,

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini terdapat 13 Depot Imigresen di Semenangjung Malaysia dan Sarawak di bawah pentadbiran dan pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia, Kapasiti kesemua Depot Imigresen adalah seperti berikut:

i) Depot Imigresen Ajil, Terengganu seramai 700 orang;
ii) Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan seramai 500 orang;
iii) Depot Imigresen Kemayan, Pahang seramai 400 orang;
iv) Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang seramai 450 orang;
v) Depot Imigresen Belantik, Kedah seramai 350 orang;
vi) Depot Imigresen Semenyih, Selangor sedang dinaik taraf, dengan kemajuan di tapak kini berada pada tahap 27%;
vii) Depot Imigresen Langkap, Perak seramai 1,000 orang;
viii) Depot Imigresen Lenggeng, negeri Sembilan seramai 1,250 orang;
ix) Depot Imigresen KLIA, Selangor seramai 600 orang;
x) Depot Imigresen achap Umboo, Melaka seramai 500 orang;
xi) Depot Imigresent Pekan Nenas, Johor seramai 700 orang;
xii) Depot Imigresen Semuja, Darawak seramai 500 orang; dan
xiii) Depot Imigresen Bekenu, Sarawak seramai 800 orang.

Tuan yang Di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jumlah keseluruhan tahanan yang mampu ditempatkan dalam Depot Imigresen adalah seramai 7,750 orang. Rekod Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan statistik tahanan semasa di Depot Imigresen pada 30 Jun 2010 berjumlah 5,500 orang.

UCAPAN PERBAHASAN RMK-10 SENATOR TUNKU ABDUL AZIZ

July 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

Terima kasih Yang Di-Pertua kerana mengizinkan saya membahaskan Rancangan Malaysia ke10.

Tuan Yang DiPertua

Seperti yang kita maklum, sekarang terdapat empat negeri berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Oleh kerana keadaan ini tidak biasa berlaku dalam keadaan biasa sebelum ini yang mana sebelum ini kita hanya mendapati Kelantan ditadbir di bawah PAS dan beberapa kali Terengganu bertukar kerajaan, implikasi yang berlaku kepada Pulau Pinang dan Selangor amat besar.

Saya melihat perkara ini telah membawa satu keadaan di mana kakitangan kerajaan berada dalam dilemma sama ada untuk berkhidmat kepada kerajaan negeri atau pun mendengar arahan Kerajaan Pusat.

Terma kakitangan kerajaan di dalam Bahasa Inggeris ialah ‘civil servant’ yang sekiranya kita menterjemahkannya menjadi ‘orang gaji kepada masyarakat sivil. Jadi, peranan kepada kakitangan awam ini ialah untuk memberi khidmat terbaik kepada majikan mereka iaitu kerajaan negeri yang berkuasa – tidak kira sama ada mereka ini dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Sekiranya ia masih berada di tampuk majikan mereka yang lama dengan mengabaikan arahan kerajaan berkuasa dan menurut perintah majikannya dahulu atau pun kerajaan pusat, maka pihak yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Tuan Yang DiPertua

Seseorang kakitangan kerajaan perlulah berfikiran bahawa penumpuan di dalam kerjaya mereka ialah untuk memberi perkhidmatan terbaik – sama ada perkhidmatan itu dapat memenuhi pemintaan-permintaan mereka yang memohon bantuan atau pun berusaha dengan bersungguh-sungguh agar rakyat mendapat seberapa banyak sokongan yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Sekiranya, mereka banyak melibatkan diri dalam aktiviti politik dalam membuat keputusan dan melengah-lengahkan arahan dengan alasan birokrasi; akhirnya perkara-perkara sebegini akan membantutkan kerja. Akhirnya, perkara sebegini akan diperlihatkan sebagai menghukum rakyat yang memilih kerajaan alternatif.

Tuan yang Dipertua,

Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan untuk menasihatkan kakitangan-kakitangan mereka supaya tidak bersikap seperti apa yang saya nyatakan. Terapkan mengenai sikap-sikap telus, bertanggungjawab yang harus ada pada seorang kakitangan kerajaan awam yang berkhidmat untuk rakyat bukan memuaskan nafsu ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kuasa sah di dalam kerajaan.

Tuan Yang Dipertua,

Perkara kedua yang saya ingin menyentuh di sini ialah berkaitan dengan Perkara TS5.4 bertajuk “Rakyat Sihat Masyarakat Produktif’.

Saya faham usaha yang dijalankan oleh Kerajaan melalui Klinik Satu Malaysia yang menyediakan perubatan percuma. Tetapi, saya dimaklumkan bahawa tiada doctor ditempatkan dan hanya ubat pening kepala sahaja.

Sering kita membaca di akhbar-akhbar di mana orang awam merayu untuk mendapat rawatan bagi perubatan. Saya berharap agar pihak kerajaan peka terhadap perkara ini bahawa keluarga-keluarga miskin tidak dikecualikan daripada mendapat bantuan perubatan.

Tuan Yang DiPertua

Perkara ketiga ialah berhubung dengan pelancongan, saya ingin menyentuh dasar baru Kementerian dengan mempekenalkan visa on arrival (VOA), dengan izin yang mana seperti kita maklum akan mengundang banyak masalah keselamatan.

Pelaksanaan dasar ini kononnya intuk menggalakkan pelancongan di negara ini.

Atas dasar ini, ratus ribuan warganegara India telah didapati ‘hilang’ di dalam rekod imigresen kita.

Sekarang ini pun, kita sudah mempunyai banyak kes yang melibatkan pendatang tanpa izin dan kini kita dibebani dengan masalah hasil daripada VOA.

Sekiranya kita mahu mengesani mereka yang masuk ke negar aini melalui VOA, kos yang terlibat berkali-kali ganda. Pihak-pihak yang terlibat akan mengalami kesukaran terutama sekali pihak imigresen dan polis.

Selain itu, di dalam bidang pelancongan sendiri, saya melihat bahawa pihak kementerian pelancongn di Pusat juga tidak bekerjasama dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pelancongan negeri. Ko-ordinasi sebegini mungkin tidak memberi gambaran yang menyenangkan pelancong-pelancong yang datang.

Tuan Yang Di-Pertua

Melalui Perkara TS4.2 bertajuk “Mengarus perdana kan Pendidikan Teknikan dan Latihan Vokasinal’ perenggan 74, hanya terdapat 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Daripada peratusan kecil ini, ramai di antara mereka yang tidak bekerja di dalam negara dan memilih untuk bekerja di luar. Ini menjurus kepada ‘brain drain’, dengan izin yang amat merugikan pembangunan negara yang mampan. Adakah kerajaan sedar mengenai perkara ini dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam membawa mereka pulang dan berkhidmat di sini serta mengelakkan dari lebih ramai pekerja-pekerja mahir kita ke luar negara.

Factor-factor lain yang perlu diberi tekanan di dalam hal ini termasuklah dasar-dasar tertentu berhubung dengan kualiti pendidikan di negara ini

Tuan Yang Dipertua

Berhubung dengan amalan rasuah yang berlaku di negara kita, perkara ini sudah menular ke institusi kewangan kita yang sepatutnya memantau pergerakan pergerakan ini di antara institusi-institusi kewangan kecil. Sehinggakan sekarang, Bank Negara Malaysia juga sudah tercemar dengan tahap integrity dan urus tadbir mereka.

Sekarang, korupsi telah menguasai perjalanan pentadbiran di kedua-dua sektor; swasta dan kerajaan. Malang sekali buat negara kita, rasuah telah menjadi amalan hidup kita.

Tuan Yang Dipertua,

semasa perkhidmatan saya bersama Bank Negara Malaysia, pesanan bagi note wang dibawah kelulusan saya. Tidak ada persoalan bagi bank menggunakan pihak ketiga untuk tujuan ini.

Seperti kita sedia maklum, wang nota RM5 yang kita guna sekarang adalah hasil tempahan kita dari Australia. Gavernor sekarang telah disebut-sebut, di luar negara sebagai beneficiary (dengan izin) sebagai pihak yang bertanggung jawab dalam transaksi ini. Kita maklum siapakah Governor Bank Negara sekarang.

Saya kira, bagi berlaku adil bagi melindungi nama baik dan reputasi beliau dan Bank Pusat di mata dunia, Tan Sri Zeti Aktar Aziz perlu memberi komen terhadap laporan ini. Hanya dengan cara ini, beliau boleh menyelamatkan nama beliau.

Kita tahu bahawa pihak berkuasa Australia telah membawa perkara ini kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat dakwaan ini yang mana nilai rasuah dengan penglibatan agent bernilai sehingga AUD47 juta.

Persoalan yang kita ingin penjelasan ialah mengapakah perolehan awam seperti wang plastic RM5 ini kita memerlukan agen yang bertindak bagi pihak kerajaan?

Kita sedia maklum, pembelian perkakas ketenteraan sememangnya melibatkan pihak ke tiga. Perkara seperti ini, menjurus ke arah amalan rasuah ratusan juta ringgit. Saya mengambil contoh pembelian kapal selam Scorpions.

Sekiranya pihak kerajaan serius dan jujur dalam mengkehendaki sebuah negara rejim yang bersih, accountable, telus; maka kita perlulah mengamalkan dengan terapan cirri-ciri sedemikian.

Tuan Yang Dipertua,

Rasuah telah menjadi factor kejatuhan banyak negara di dunia dan akhir-akhir ini Greece yang mana berdasarkan kepada pemahaman pakar, rasuah di Greece begitu luas termasuk di dalam pengecualian cukai yang diamalkan oleh rakyat Greece.

Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.

Categories: Corruption, Dewan Negara, Parliament Tags:

MASIH BELUM TINDAKAN TERHADAP LEMBAGA PENGARAH SIME DARBY

July 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 26 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI KEWANGAN menyatakan tindakan yang diambil terhadap Lembaga Pengarah Sime Darby secara ‘en bloc’ atas kegagalan mereka menyelamatkan Sime Darby daripada kerugian hampir mencecah RM2 bilion.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Buat masa ini Kerajaan belum mengambil sebarang tindakan terhadap Lembaga Pengarah Sime Darby kerana masih menunggu keputusan kajian siasat oleh pakar-pakar luaran daripada firma perunding (KPMG dan Deloitte) untuk menjalankan audit forensik bebas serta sebuah firma guaman bebas. Audit forensik ini dijangka akan selesai pada akhir bulan Ogos 2010. Sebarang keputusan atas dasar akauntabiliti dan kebertanggungjawaban akan hanya diambil setelah segala usaha audit dan siasatan ini selesai sepenuhnya.

2. Sebagai langkah tambahan untuk mengelak isu kelemahan pentadbiran atau kecuaian daripada berulang, Sime Darby juga telah memperkenalkan inisiatif ke arah memperkasakan struktur tadbir urus syarikat ke atas meningkatkan etika dan kebertanggungjawaban dalam sebarang keputusan yang dibuat bagi meningkatkan pemantauan kewangan serta membudayakan amalan pengurusan risiko.

KEMATIAN DALAM IMIGRESEN

July 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 26 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilangan kematian tahanan imigresen yang berlaku di depot tahanan imigresen dan hospital mengikut kategori negara asal, jantina dan umur dalam masa lima tahun yang lepas dan bilangannya bagi setiap tahun.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sejumlah 78 tahanan telah mati di dalam Depot Imigresen untuk tahun-tahun 2005 hinga 2009, dengan pecahan bilangan seperti berikut:

i. Bagi tahun 2005 sebanyak 1 kematian;
ii. Bagi tahun 2006 sebanyak 5 kematian;
iii. Bagi tahun 2007 seanyak 27 kematian;
iv. Bagi tahun 2008 sebanyak 14 kematian; dan
v. Bagi tahun 2009 sebanyak 31 kematian.

Dari jumlah ini, didapati bilangan tertinggi terdiri dari:

i. 32 tahanan warganegara Myanmar yang kesemuanya merupakan lelaki;
ii. 12 tahanan warganegara Indonesia yang mana 8 adalah lelaki, 2 adalah wanita dan 2 kanak-kanak;
iii. 11 tahanan warganegara India yang amna 10 adalah lelaki dan 1 wanita;
iv. 11 tahanan warganegara Bangladesh yang kesemuanya merupakan lelaki.
v. 4 tahanan warganegara Kemboja yang kesemuanya merupakan lelaki;
vi. 2 tahanan warganegara Vietnam yang kesemuanya merupakan lelaki;
vii. Dan
viii. Masing-masing 1 tahanan lelaki dari Thailand, Nigeria, Togo, Pakistan, Liberia dan Filipina.