Terima kasih Yang Di-Pertua kerana mengizinkan saya membahaskan Rancangan Malaysia ke10.
Tuan Yang DiPertua
Seperti yang kita maklum, sekarang terdapat empat negeri berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Oleh kerana keadaan ini tidak biasa berlaku dalam keadaan biasa sebelum ini yang mana sebelum ini kita hanya mendapati Kelantan ditadbir di bawah PAS dan beberapa kali Terengganu bertukar kerajaan, implikasi yang berlaku kepada Pulau Pinang dan Selangor amat besar.
Saya melihat perkara ini telah membawa satu keadaan di mana kakitangan kerajaan berada dalam dilemma sama ada untuk berkhidmat kepada kerajaan negeri atau pun mendengar arahan Kerajaan Pusat.
Terma kakitangan kerajaan di dalam Bahasa Inggeris ialah ‘civil servant’ yang sekiranya kita menterjemahkannya menjadi ‘orang gaji kepada masyarakat sivil. Jadi, peranan kepada kakitangan awam ini ialah untuk memberi khidmat terbaik kepada majikan mereka iaitu kerajaan negeri yang berkuasa – tidak kira sama ada mereka ini dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.
Sekiranya ia masih berada di tampuk majikan mereka yang lama dengan mengabaikan arahan kerajaan berkuasa dan menurut perintah majikannya dahulu atau pun kerajaan pusat, maka pihak yang menjadi mangsa ialah rakyat.
Tuan Yang DiPertua
Seseorang kakitangan kerajaan perlulah berfikiran bahawa penumpuan di dalam kerjaya mereka ialah untuk memberi perkhidmatan terbaik – sama ada perkhidmatan itu dapat memenuhi pemintaan-permintaan mereka yang memohon bantuan atau pun berusaha dengan bersungguh-sungguh agar rakyat mendapat seberapa banyak sokongan yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Sekiranya, mereka banyak melibatkan diri dalam aktiviti politik dalam membuat keputusan dan melengah-lengahkan arahan dengan alasan birokrasi; akhirnya perkara-perkara sebegini akan membantutkan kerja. Akhirnya, perkara sebegini akan diperlihatkan sebagai menghukum rakyat yang memilih kerajaan alternatif.
Tuan yang Dipertua,
Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan untuk menasihatkan kakitangan-kakitangan mereka supaya tidak bersikap seperti apa yang saya nyatakan. Terapkan mengenai sikap-sikap telus, bertanggungjawab yang harus ada pada seorang kakitangan kerajaan awam yang berkhidmat untuk rakyat bukan memuaskan nafsu ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kuasa sah di dalam kerajaan.
Tuan Yang Dipertua,
Perkara kedua yang saya ingin menyentuh di sini ialah berkaitan dengan Perkara TS5.4 bertajuk “Rakyat Sihat Masyarakat Produktif’.
Saya faham usaha yang dijalankan oleh Kerajaan melalui Klinik Satu Malaysia yang menyediakan perubatan percuma. Tetapi, saya dimaklumkan bahawa tiada doctor ditempatkan dan hanya ubat pening kepala sahaja.
Sering kita membaca di akhbar-akhbar di mana orang awam merayu untuk mendapat rawatan bagi perubatan. Saya berharap agar pihak kerajaan peka terhadap perkara ini bahawa keluarga-keluarga miskin tidak dikecualikan daripada mendapat bantuan perubatan.
Tuan Yang DiPertua
Perkara ketiga ialah berhubung dengan pelancongan, saya ingin menyentuh dasar baru Kementerian dengan mempekenalkan visa on arrival (VOA), dengan izin yang mana seperti kita maklum akan mengundang banyak masalah keselamatan.
Pelaksanaan dasar ini kononnya intuk menggalakkan pelancongan di negara ini.
Atas dasar ini, ratus ribuan warganegara India telah didapati ‘hilang’ di dalam rekod imigresen kita.
Sekarang ini pun, kita sudah mempunyai banyak kes yang melibatkan pendatang tanpa izin dan kini kita dibebani dengan masalah hasil daripada VOA.
Sekiranya kita mahu mengesani mereka yang masuk ke negar aini melalui VOA, kos yang terlibat berkali-kali ganda. Pihak-pihak yang terlibat akan mengalami kesukaran terutama sekali pihak imigresen dan polis.
Selain itu, di dalam bidang pelancongan sendiri, saya melihat bahawa pihak kementerian pelancongn di Pusat juga tidak bekerjasama dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pelancongan negeri. Ko-ordinasi sebegini mungkin tidak memberi gambaran yang menyenangkan pelancong-pelancong yang datang.
Tuan Yang Di-Pertua
Melalui Perkara TS4.2 bertajuk “Mengarus perdana kan Pendidikan Teknikan dan Latihan Vokasinal’ perenggan 74, hanya terdapat 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Daripada peratusan kecil ini, ramai di antara mereka yang tidak bekerja di dalam negara dan memilih untuk bekerja di luar. Ini menjurus kepada ‘brain drain’, dengan izin yang amat merugikan pembangunan negara yang mampan. Adakah kerajaan sedar mengenai perkara ini dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam membawa mereka pulang dan berkhidmat di sini serta mengelakkan dari lebih ramai pekerja-pekerja mahir kita ke luar negara.
Factor-factor lain yang perlu diberi tekanan di dalam hal ini termasuklah dasar-dasar tertentu berhubung dengan kualiti pendidikan di negara ini
Tuan Yang Dipertua
Berhubung dengan amalan rasuah yang berlaku di negara kita, perkara ini sudah menular ke institusi kewangan kita yang sepatutnya memantau pergerakan pergerakan ini di antara institusi-institusi kewangan kecil. Sehinggakan sekarang, Bank Negara Malaysia juga sudah tercemar dengan tahap integrity dan urus tadbir mereka.
Sekarang, korupsi telah menguasai perjalanan pentadbiran di kedua-dua sektor; swasta dan kerajaan. Malang sekali buat negara kita, rasuah telah menjadi amalan hidup kita.
Tuan Yang Dipertua,
semasa perkhidmatan saya bersama Bank Negara Malaysia, pesanan bagi note wang dibawah kelulusan saya. Tidak ada persoalan bagi bank menggunakan pihak ketiga untuk tujuan ini.
Seperti kita sedia maklum, wang nota RM5 yang kita guna sekarang adalah hasil tempahan kita dari Australia. Gavernor sekarang telah disebut-sebut, di luar negara sebagai beneficiary (dengan izin) sebagai pihak yang bertanggung jawab dalam transaksi ini. Kita maklum siapakah Governor Bank Negara sekarang.
Saya kira, bagi berlaku adil bagi melindungi nama baik dan reputasi beliau dan Bank Pusat di mata dunia, Tan Sri Zeti Aktar Aziz perlu memberi komen terhadap laporan ini. Hanya dengan cara ini, beliau boleh menyelamatkan nama beliau.
Kita tahu bahawa pihak berkuasa Australia telah membawa perkara ini kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat dakwaan ini yang mana nilai rasuah dengan penglibatan agent bernilai sehingga AUD47 juta.
Persoalan yang kita ingin penjelasan ialah mengapakah perolehan awam seperti wang plastic RM5 ini kita memerlukan agen yang bertindak bagi pihak kerajaan?
Kita sedia maklum, pembelian perkakas ketenteraan sememangnya melibatkan pihak ke tiga. Perkara seperti ini, menjurus ke arah amalan rasuah ratusan juta ringgit. Saya mengambil contoh pembelian kapal selam Scorpions.
Sekiranya pihak kerajaan serius dan jujur dalam mengkehendaki sebuah negara rejim yang bersih, accountable, telus; maka kita perlulah mengamalkan dengan terapan cirri-ciri sedemikian.
Tuan Yang Dipertua,
Rasuah telah menjadi factor kejatuhan banyak negara di dunia dan akhir-akhir ini Greece yang mana berdasarkan kepada pemahaman pakar, rasuah di Greece begitu luas termasuk di dalam pengecualian cukai yang diamalkan oleh rakyat Greece.
Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.