UCAPAN PENANGGUHAN – PERBELANJAAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Di pertua kerana mengizinkan saya membaca ucapan penangguhan Rancangan Malaysia ke 10 ini.
Rancangan Malaysia ke-sepuluh telah diumumkan pada bulan Jun dan ini adalah rancangan pembangunan lima tahun yang paling penting dalam pembangunan Malaysia. Ia merangkumi pembangunan semua sektor Negara termasuk bidang sosial, ekonomi, keselamatan dan pertadbiran am.
Angkatan tentera adalah tembok atau tulang belakang pertahanan keselamatan Negara. Boleh dikatakan tanpa pengorbanan anggota angkatan tentera dahulu dan sekarang, kita tidaklah dapat menikmati kesejahteraan dan keamanan pada hari ini.
Tetapi apa yang menghairankan ialah Rancangan Malaysia yang baru dibentang baru-baru ini, langsung tidak menyentuh pembangunan keupayaan pertahanan dan angkatan tentera. Dalam dokumen RMK 10 yang setebal 449 muka surat ini langsung tidak menyentuh sepatah perkataan mengenai pertahanan.
Berdasarkan maklumat am yang diberi oleh RMK 10, sektor keselamatan mendapat 10% dari RM230 billion peruntukan. Daripada jumlah tersebut, berapakah peruntukan dalam bidang pertahanan dan juga pecahan peruntukan kepada Polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera.
Selain itu, saya ingin menyentuh perkara senarai perolehan kelengkapan tentera dibawah RMK 10. Sebelum itu, saya telah menghantar soalan kepada kementerian pertahanan mengenai senarai perolehan kelengkapan untuk lima tahun depan, tetapi soalan saya ditolak kerana ianya didakwa menyentuh kerahsiaan.
Tambahan lagi, soalan-soalan saya yang menyentuh perolehan kelengkapan yang sedang dan siap dilaksanakan juga ditolak atas alasan yang sama. Saya ingin menegaskan di sini bahawa adalah tidak munasabah menolak soalan-soalan tersebut memandangkan isu-isu menyentuh rahsia ketenteraan tidak wujud.
Pertama, saya memahami pembelian kelengkapan tentera adalah sensitif dan perlu menjaga rahsia ketenteraan seperti unsur-unsur spesifikasi dan atur gerak.
Tetapi, soalan yang ditanya bukan bertujuan untuk mendapat rahsia ketenteraan seperti yang disebut, tetapi untuk mendapat maklumat latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan tentera yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan sendiri.
Jikalau Kementerian Pertahanan sendiri yang membuat pengumuman pembelian kelengkapan tersebut, maka ini tidaklah dikira sebagai rahsia lagi. Saya menyentuh:
1. pembelian Vera-E Radar Pasif dari Omnipol, Republik Czech yang telah beberapa kali dicatatkan dalam Laporan Tahunan Kementerian Pertahanan 2007 dan 2008. Dan laporan tersebut telah menyatakan projek timbal balas Vera-E sedang dipantau oleh kementerian.
2. pembelian Cruise Missile diumumkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan sendiri di Dewan Rakyat.
3. Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang telah menunjukkan peluru berpandu Taming Sari XK98 keseluruh negara pada 31 Ogos 2007 bersempena Perarakan Merdeka 2007 di Dataran Merdeka.
Kedua, pembelian kelengkapan ketenteraan adalah mengguna peruntukan awam dan perlu mendapat persetujuan Parlimen. Oleh itu, adalah munasabah dan kepatutuan untuk ahli parlimen membincang dan mengetahui latar belakang atau basic information (dengan izin) pembelian kelengkapan ketenteraan yang mahal ini.
Ketiga, Ahli Parlimen dan rakyat mempunyai hak untuk mengetahui senarai pembelian kelengkapan ketenteraan yang akan dilancar pada lima tahun depan iaitu dalam Rancangan Malaysian Kesepuluh. Memandangkan pembelian kelengkapan ketenteraan adalah sangat mahal dan mudah berlaku penyelewengan, maka adalah perlu dipantau oleh Parlimen dan rakyat supaya berselaras dengan prinsip-prinsip good governance (dengan izin) dan meningkatkan lagi ketelusan kerajaan.
8 Billion untuk membeli 257 buah Kereta Perisai AV8
Kerajaan baru mengumumkan di DSA 2010 pada 20 April 2010 yang mana akan membelanja RM 8 billion yang mana adalah perolehan terbesar dalam sejarah Malaysia untuk memperolehi 257 buah kereta perisai pembawa anggota AV8 dari syarikat DEFTECH dan FNSS supaya mengganti semua kereta Condor dan Sibmas yang sudah usang. Ini bermaksud, secara amnya , setiap AV8 berkos RM31 juta!
Walaupun difahamkan RM8 bilion ini merangkumi RM 400 juta bagi membangunkan kemudahan DEFTECH di Pekan, dan juga kos R&D dan integrasi dan ujian, namun angka tersebut tidaklah munasabah sehingga mencecah beberapa billion ringgit. Selain itu, berbanding dengan program pembangunan kereta perisai 8×8 di luar Negara, ia juga dilihatkan satu jumlah yang amat tinggi. Mengikut kajian, purata kos sebuah kereta perisai 8×8 ialah 2 -3 juta USD, atau dalam RM ialah 10 juta lebih. Kenapa AV8 kita ini mahal hampir dua kali ganda dari luar negeri?
Pihak Kementerian juga tidak menjelaskan bagaimana RM8 bilion ini diguna dalam pecahan kos R&D, ujian, integrasi, pembangunan infrastruktur, kos pembelian harta intelek dari Turkey’s FNSS Company dan unit kos. Kenapa perolehan ini adalah melalui direct negotiation (dengan izin), bukan secara tender terbuka memandangkan ia menelan wang yang begitu tinggi.
Soalan Bujet 2010
Anggaran perbelanjaan mengurus 2010 telah menunjukkan penurunan dalam bidang latihan, logistic, operasi dan pengurusan. Adakah penurunan yang banyak ini akan menjejaskan quality latihan dan keberkesanan melaksanakan operasi-operasi? Tetapi, di sini telah timbul satu soalan. Mengikut permerhatian terhadap prestasi budget KEMENTAH, difahamkan bahawa KEMENTAH secara kebiasaannya membuat anggaran perbelanjaan tahun depan kurang dari sebenar yang diperlukan. Misalnya, dalam budget 2009 menunjukkan anggaran perbelanjaan latihan untuk pertahanan darat 2008 adalah RM35,472,600. Tapi, di dalam budget 2008 untuk perkara sama adalah dicatatkan sebagai RM19,072,600. Di manakah angka yang sebenarnya?
KEMENTAH sepatutnya memberi maklumat yang lebih tepat dalam budget tahunan. Janganlah memberi penilaian yang rendah dari sebenar atau diperlukan. Apakah dasar yang digunapakai KEMENTAH di dalam membuat anggaran ini? Apa statistic dan formula yang digunakan? Dan, adakah kerana tiap-tiap kali Kementerian memberi anggaran rendah mengakibatkan kementerian terpaksa memohon peruntukan tambahan dalam sidang dewan parlimen masa depan?
Selain itu, saya melihat anggaran perbelanjaan pembangunan untuk tiga perkhidmatan membeli perlengkapan yang dicatatkan di dalam budget 2010 ialah RM10. Mungkin pihak kementerian boleh jelaskan peruntukan RM10 yang dinyatakan tersebut.
Sekian ucapan penggulungan saya .