Pertikaian Keudalatan Kepulauan Spratly
JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010
SOALAN:
TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan pendirian Kerajaan terhadap cadangan menyatukan semua penuntut ASEAN terhadap Spratly Asia Tenggara supaya menggunakan satu entiti untuk berunding dengan negara China dalam masalah pertikaian kedaulatan. Pernahkah pihak TLDM menjejaki kapal perang / penguatkuasa China memasuki kawasan EEZ Malaysia tanpa notis.
JAWAPAN:
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Mulia Senator Tunku Abdul Aziz di atas soalan yang dikemukakan.
2. Seperti yang telah dimaklumkan di dalam dewan yang mulia ini sebelum ini, wujud tuntutan bertindih kawasan maritim dan tuntutan bertindih ke atas ciri-ciri geografi di kawasan Laut China Selatan. Tuntutan bertindih di Laut China Selatan ini melibatkan Malaysia, Vietnam, Brunei Darussalam, Filipina dan Republik Rakyat China. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Republik Rakyat China menuntut keseluruhan laut China Selatan termasuklah Kepulauan Spratlys.
3. Seperti yang telah dimaklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, isu berhubung tuntutan ke atas pulau-pulau, terumbu dan kawasan maritim ini ditangani berasaskan kpeada semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China pada 4 November 2002. Melalui Deklarasi ini, pihak-pihak yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan bertekad untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan berhubung tuntutan wilayah maritim bertindih di Laut China Selatan secara damai melalui jalan perundingan tanpa menggunakan kekerasan atau pun ugutan. Dalam masa yang sama, usaha-usaha juga diambil bagi membina keyakinan (confidence building) di antara negara-negara yang terlibat, Dalam hal ini, sukacita saya ingin memaklumkan perbincangan sedang dijalankan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kerjasama di bawah kerangka DOC bagi mengingkatkan keyakinan dan mengelakkan ketegangan di kawasan Laut China Selatan.
Tuan Yang Di-Pertua,
4. Malaysia sentiasa peka dengan isu-isu yang melibatkan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau dan wilayah Malaysia. Usaha-usaha sentiasa dilaksanakan demi mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim berkenaan. Malaysia percaya penyelesaian kepada isu tuntutan bertindih boleh dicapai melalui perbincangan secara damai tanpa menggunakan kekerasan. Dala hal ini, Malaysia sentiasa mewujudkan rundingan dua hala dengan negara jirannya bagi membataskan sempadan di kawasan di mana belum ada lagi perjanjian sempadan maritim. Malaysia berpendirian bahawa tuntutan bertindih wajar diselesaikan secara rundingan dua hala dan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilah Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian.
5. Dalam masa yang sama, Malaysia juga sentiasa mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku. Pada masa ini, Malaysia berpandangan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan wajar diselesaikan secara dua hala atau pelbagai hala dan hanya melibatkan negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih. Pada masa ini, tidak ada sebarang cadangan daripada mana-mana negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih untuk bergabung sebagai satu entiti dan beruding dengan Republik Rakyat China.
Tuan Yang Di-Pertua,
6. Berhubung dengan isu sama ada pihak Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menjejaki kapal perang / penguat kuasa Republik Rakyat China memasuki zon ekonomi eksklusif Malaysia tanpa notis, sukacita saya ingin maklumkan bahawa Malaysia menjalankan rondaan dan pengawasan secara berterusan di kawasan maritim yang dituntut di Laut China Selatan. Dalam masa yang sama, peruntukan undang-undang antarabangsa membolehkan kapal-kapal belayar di lautan di bawah prinsip freedom of navigation tanpa perlu memohon kebenaran sesebuah negar berpantai. Dalam masa yang sama, kapal-kapal yang menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan prinsip navigation, seperti menjalankan kajian saintifik marin dan sebagainya di dalam kawasan zon ekonomi eksklusif Malaysia, akan diambil tindakan sewajarnya, Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan bahawa pihak TLDM sentiasa memantau aktiviti-aktiviti kapal perang negara-negara luar di kawasan maritim Malaysia di Laut China Selatan.
Sekian, terima kasih.