Archive

Archive for the ‘Parliament’ Category

Projek Perolehan AV-8

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN BUKAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan projek perolehan 257 buah AV-8 dari DEFTECH dari egi kesesuaian dan ‘cost-effective’ 8×8 berbanding dengan 6×6 kereta perisai, bilangan AV-8 dan anggaran perbelanjaan diperlukan untuk mengganti semua kereta perisai Condor dan Sibmas serta kenapa kereta perisai Pars dipilih sebagai model, bukan Rosomak dri Poland.

JAWAPAN:

Model Rosomak dan Pars telah diuji nilai oleh Kementerian pertahanan dan mendapati kedua-duanya mempunyai kemampuan yang setanding. Bagaimanapun, model Pars dipilih berdasarkan kepada tawaran yang lebih baik serta menyumbang kepada peningkatan industri pertahanan negara.

Keperluan penggantian kereta perisai Condor dan Sibmas adalah melibatkan empat (4) Rejimen Kavalri dan satu (1) Batalion Infantri Mekanis. Bagi fasa pertama, Kerajaan hanya akan membuat perolehan untuk dua (2) Rejimen Kavalri dan satu (1) Batalion Infantri Mekanis sahaja yang melibatkan 257 unit kenderaan dengan anggaran kos sebanyak RM7.983 bilion (hamper RM8.0 bilion) serta mengambil tempoh selama tujuh (7) tahun proses pelaksanaannya. Setakat ini, harga bagi perolehan inimasih di peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan lagi oleh Kerajaan.

Di antara taawaran yang telah dipersetujui oleh piak pembekal Pars adalah seperti berikut:

i) Pemasangan kenderaan ini dibuat di Malaysia dengan sejumlah komponen menggunakan produk tempatan;

ii) Intellectual Property Rights (IPR) dimiliki oleh Syarikat Tempatan bagi membolehkan Malaysia memasarkan kenderaan perisai ini di negara-negara lain terutama Asia Tenggara; dan

iii) Membenarkan sebahagian dari komponen-komponen sokongan diperolehi dan secara langsung mampu meningkatkan keupayaan industri pertahanan negara.

UNDI POS PRU SIBU

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM Minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimana bagi Kod 708 (Polis) di mana enam dikeluarkan 24 kertas undi dipulangkan, Kod 429 (tentera) dikeluarkan 160 kertas undi an 161 dipulangkan, Kod 43 (tentera), 47 kertas undi dikeluarkan dan 67 kertas undi dipulangkan (Pilihan Raya Kecil Sibu).

JAWAPAN:

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, jumlah kertas undi pos yang dikeluarkan kepada pengundi pos tentera, polis dan petugas-petugas SPR pada 12 Mei 2010 untuk Pilihan Raya Kecil P.212 Sibu adalah berjumlah 2,827. Ini termasuk pengeluaran kepada anggota tentera sebanyak 1,910, anggota polis sebanyak 627 dan petugas-petugas SPR sebanyak 290. Sehingga jam 5 petang, iaitu selepas tempoh pengundian ditutup pada 16 Mei 2010, sejumlah 2,637 kertas undi pos (Sampul B) sahaja yang diterima balik oleh Pegawai Pengurus. Manakala bakinya sebanyak 190 kertas undi pos tidak dikembalikan. Jumlah diterima balik dari tentera sebanyak 1879, polis sebanyak 596 dan petugas-petugas SPR sebanyak 162. Oleh itu, soal kertas undi yang diterima balik melebihi daripada jumlah yang dikeluarkan tidak berbangkit sama sekali.

Sekian, terima kasih.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags:

Pembelian Frigat Batch 2

July 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN BUKAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 28 JULAI 2010

SOALAN:

Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan status perbincangan antara Bae dan kerajaan Malaysia mengenai pembelian 2 buah Frigat Batch 2:-

a) berapa diperuntukkan dalam pembelian kapal perang ini; dan
b) adakah kedua-dua frigat baru ini akan dibina oleh syarikat tempatan dan apakah status LOI ditandatangani pada tahun 2006.

JAWAPAN:

Perolehan dua (2) buah kapal Frigat Kelas Jebat Kedia adalah kesinambungan dari Batch Pertama iaitu KD Jebat dan KD Lekiu yang dibina oleh BAE Systems, United Kingdom. Kapal Frigat Batch Pertama ini telah menunjukkan prestasi operasi yang sangat baik dan mempunyai keupayaan yang tinggi. Perolehan dua (2) buah kapal Frigat daripada kelas yang sama akan dapat meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, keseragaman kapal frigat akan menguntungkan dari aspek mengurangkan kos logistik dan selenggaraan.

Walaupun LOI telah ditandatangani pada tahun 2006, rundingan kontrak dengan BAE telah dihentikan pada tahun 2008 kerana ketiadaan peruntukan dalam RMK-9. Sekiranya peruntukan disediakan di dalam RMK-10, perolehan ini akan dapat diteruskan dan konsep pembinaan dalam negara serta syarikat tempatan akan diputuskan kemudian kelak.

EPISOD 4 &5 ISU BAKUN DI RTM2

July 27th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 27 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan alasan memberhentikan Episod 4 dan 5 isu Bakun di Galeri Mandarin Nasional di TV2 seperti yang disiarkan di Internet oleh penerbitnya, Chou Z Lam.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Pembatalan dan keputusan menarik balik penyiaran dokumentari yang membincangkan masalah penduduk di tapak pembinaan Empangan Bakun dibuat secara professional memandangkan ia tidak mematuhi Garis Panduan Siaran RTM selain tidak memuatkan tujuan sebenar projek dan faedahnya kepada negara. Berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) penyediaan sesuatu program, RTM bertanggungjawab memastikan rakyat mendapat maklumat yang seimbang tentang projek-projek yang dilaksanakan.

UCAPAN PERBAHASAN RMK-10 SENATOR TUNKU ABDUL AZIZ

July 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

Terima kasih Yang Di-Pertua kerana mengizinkan saya membahaskan Rancangan Malaysia ke10.

Tuan Yang DiPertua

Seperti yang kita maklum, sekarang terdapat empat negeri berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Oleh kerana keadaan ini tidak biasa berlaku dalam keadaan biasa sebelum ini yang mana sebelum ini kita hanya mendapati Kelantan ditadbir di bawah PAS dan beberapa kali Terengganu bertukar kerajaan, implikasi yang berlaku kepada Pulau Pinang dan Selangor amat besar.

Saya melihat perkara ini telah membawa satu keadaan di mana kakitangan kerajaan berada dalam dilemma sama ada untuk berkhidmat kepada kerajaan negeri atau pun mendengar arahan Kerajaan Pusat.

Terma kakitangan kerajaan di dalam Bahasa Inggeris ialah ‘civil servant’ yang sekiranya kita menterjemahkannya menjadi ‘orang gaji kepada masyarakat sivil. Jadi, peranan kepada kakitangan awam ini ialah untuk memberi khidmat terbaik kepada majikan mereka iaitu kerajaan negeri yang berkuasa – tidak kira sama ada mereka ini dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Sekiranya ia masih berada di tampuk majikan mereka yang lama dengan mengabaikan arahan kerajaan berkuasa dan menurut perintah majikannya dahulu atau pun kerajaan pusat, maka pihak yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Tuan Yang DiPertua

Seseorang kakitangan kerajaan perlulah berfikiran bahawa penumpuan di dalam kerjaya mereka ialah untuk memberi perkhidmatan terbaik – sama ada perkhidmatan itu dapat memenuhi pemintaan-permintaan mereka yang memohon bantuan atau pun berusaha dengan bersungguh-sungguh agar rakyat mendapat seberapa banyak sokongan yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Sekiranya, mereka banyak melibatkan diri dalam aktiviti politik dalam membuat keputusan dan melengah-lengahkan arahan dengan alasan birokrasi; akhirnya perkara-perkara sebegini akan membantutkan kerja. Akhirnya, perkara sebegini akan diperlihatkan sebagai menghukum rakyat yang memilih kerajaan alternatif.

Tuan yang Dipertua,

Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan untuk menasihatkan kakitangan-kakitangan mereka supaya tidak bersikap seperti apa yang saya nyatakan. Terapkan mengenai sikap-sikap telus, bertanggungjawab yang harus ada pada seorang kakitangan kerajaan awam yang berkhidmat untuk rakyat bukan memuaskan nafsu ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kuasa sah di dalam kerajaan.

Tuan Yang Dipertua,

Perkara kedua yang saya ingin menyentuh di sini ialah berkaitan dengan Perkara TS5.4 bertajuk “Rakyat Sihat Masyarakat Produktif’.

Saya faham usaha yang dijalankan oleh Kerajaan melalui Klinik Satu Malaysia yang menyediakan perubatan percuma. Tetapi, saya dimaklumkan bahawa tiada doctor ditempatkan dan hanya ubat pening kepala sahaja.

Sering kita membaca di akhbar-akhbar di mana orang awam merayu untuk mendapat rawatan bagi perubatan. Saya berharap agar pihak kerajaan peka terhadap perkara ini bahawa keluarga-keluarga miskin tidak dikecualikan daripada mendapat bantuan perubatan.

Tuan Yang DiPertua

Perkara ketiga ialah berhubung dengan pelancongan, saya ingin menyentuh dasar baru Kementerian dengan mempekenalkan visa on arrival (VOA), dengan izin yang mana seperti kita maklum akan mengundang banyak masalah keselamatan.

Pelaksanaan dasar ini kononnya intuk menggalakkan pelancongan di negara ini.

Atas dasar ini, ratus ribuan warganegara India telah didapati ‘hilang’ di dalam rekod imigresen kita.

Sekarang ini pun, kita sudah mempunyai banyak kes yang melibatkan pendatang tanpa izin dan kini kita dibebani dengan masalah hasil daripada VOA.

Sekiranya kita mahu mengesani mereka yang masuk ke negar aini melalui VOA, kos yang terlibat berkali-kali ganda. Pihak-pihak yang terlibat akan mengalami kesukaran terutama sekali pihak imigresen dan polis.

Selain itu, di dalam bidang pelancongan sendiri, saya melihat bahawa pihak kementerian pelancongn di Pusat juga tidak bekerjasama dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pelancongan negeri. Ko-ordinasi sebegini mungkin tidak memberi gambaran yang menyenangkan pelancong-pelancong yang datang.

Tuan Yang Di-Pertua

Melalui Perkara TS4.2 bertajuk “Mengarus perdana kan Pendidikan Teknikan dan Latihan Vokasinal’ perenggan 74, hanya terdapat 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Daripada peratusan kecil ini, ramai di antara mereka yang tidak bekerja di dalam negara dan memilih untuk bekerja di luar. Ini menjurus kepada ‘brain drain’, dengan izin yang amat merugikan pembangunan negara yang mampan. Adakah kerajaan sedar mengenai perkara ini dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam membawa mereka pulang dan berkhidmat di sini serta mengelakkan dari lebih ramai pekerja-pekerja mahir kita ke luar negara.

Factor-factor lain yang perlu diberi tekanan di dalam hal ini termasuklah dasar-dasar tertentu berhubung dengan kualiti pendidikan di negara ini

Tuan Yang Dipertua

Berhubung dengan amalan rasuah yang berlaku di negara kita, perkara ini sudah menular ke institusi kewangan kita yang sepatutnya memantau pergerakan pergerakan ini di antara institusi-institusi kewangan kecil. Sehinggakan sekarang, Bank Negara Malaysia juga sudah tercemar dengan tahap integrity dan urus tadbir mereka.

Sekarang, korupsi telah menguasai perjalanan pentadbiran di kedua-dua sektor; swasta dan kerajaan. Malang sekali buat negara kita, rasuah telah menjadi amalan hidup kita.

Tuan Yang Dipertua,

semasa perkhidmatan saya bersama Bank Negara Malaysia, pesanan bagi note wang dibawah kelulusan saya. Tidak ada persoalan bagi bank menggunakan pihak ketiga untuk tujuan ini.

Seperti kita sedia maklum, wang nota RM5 yang kita guna sekarang adalah hasil tempahan kita dari Australia. Gavernor sekarang telah disebut-sebut, di luar negara sebagai beneficiary (dengan izin) sebagai pihak yang bertanggung jawab dalam transaksi ini. Kita maklum siapakah Governor Bank Negara sekarang.

Saya kira, bagi berlaku adil bagi melindungi nama baik dan reputasi beliau dan Bank Pusat di mata dunia, Tan Sri Zeti Aktar Aziz perlu memberi komen terhadap laporan ini. Hanya dengan cara ini, beliau boleh menyelamatkan nama beliau.

Kita tahu bahawa pihak berkuasa Australia telah membawa perkara ini kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat dakwaan ini yang mana nilai rasuah dengan penglibatan agent bernilai sehingga AUD47 juta.

Persoalan yang kita ingin penjelasan ialah mengapakah perolehan awam seperti wang plastic RM5 ini kita memerlukan agen yang bertindak bagi pihak kerajaan?

Kita sedia maklum, pembelian perkakas ketenteraan sememangnya melibatkan pihak ke tiga. Perkara seperti ini, menjurus ke arah amalan rasuah ratusan juta ringgit. Saya mengambil contoh pembelian kapal selam Scorpions.

Sekiranya pihak kerajaan serius dan jujur dalam mengkehendaki sebuah negara rejim yang bersih, accountable, telus; maka kita perlulah mengamalkan dengan terapan cirri-ciri sedemikian.

Tuan Yang Dipertua,

Rasuah telah menjadi factor kejatuhan banyak negara di dunia dan akhir-akhir ini Greece yang mana berdasarkan kepada pemahaman pakar, rasuah di Greece begitu luas termasuk di dalam pengecualian cukai yang diamalkan oleh rakyat Greece.

Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.

Categories: Corruption, Dewan Negara, Parliament Tags:

MASIH BELUM TINDAKAN TERHADAP LEMBAGA PENGARAH SIME DARBY

July 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 26 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI KEWANGAN menyatakan tindakan yang diambil terhadap Lembaga Pengarah Sime Darby secara ‘en bloc’ atas kegagalan mereka menyelamatkan Sime Darby daripada kerugian hampir mencecah RM2 bilion.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Buat masa ini Kerajaan belum mengambil sebarang tindakan terhadap Lembaga Pengarah Sime Darby kerana masih menunggu keputusan kajian siasat oleh pakar-pakar luaran daripada firma perunding (KPMG dan Deloitte) untuk menjalankan audit forensik bebas serta sebuah firma guaman bebas. Audit forensik ini dijangka akan selesai pada akhir bulan Ogos 2010. Sebarang keputusan atas dasar akauntabiliti dan kebertanggungjawaban akan hanya diambil setelah segala usaha audit dan siasatan ini selesai sepenuhnya.

2. Sebagai langkah tambahan untuk mengelak isu kelemahan pentadbiran atau kecuaian daripada berulang, Sime Darby juga telah memperkenalkan inisiatif ke arah memperkasakan struktur tadbir urus syarikat ke atas meningkatkan etika dan kebertanggungjawaban dalam sebarang keputusan yang dibuat bagi meningkatkan pemantauan kewangan serta membudayakan amalan pengurusan risiko.

KEMATIAN DALAM IMIGRESEN

July 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 26 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilangan kematian tahanan imigresen yang berlaku di depot tahanan imigresen dan hospital mengikut kategori negara asal, jantina dan umur dalam masa lima tahun yang lepas dan bilangannya bagi setiap tahun.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, sejumlah 78 tahanan telah mati di dalam Depot Imigresen untuk tahun-tahun 2005 hinga 2009, dengan pecahan bilangan seperti berikut:

i. Bagi tahun 2005 sebanyak 1 kematian;
ii. Bagi tahun 2006 sebanyak 5 kematian;
iii. Bagi tahun 2007 seanyak 27 kematian;
iv. Bagi tahun 2008 sebanyak 14 kematian; dan
v. Bagi tahun 2009 sebanyak 31 kematian.

Dari jumlah ini, didapati bilangan tertinggi terdiri dari:

i. 32 tahanan warganegara Myanmar yang kesemuanya merupakan lelaki;
ii. 12 tahanan warganegara Indonesia yang mana 8 adalah lelaki, 2 adalah wanita dan 2 kanak-kanak;
iii. 11 tahanan warganegara India yang amna 10 adalah lelaki dan 1 wanita;
iv. 11 tahanan warganegara Bangladesh yang kesemuanya merupakan lelaki.
v. 4 tahanan warganegara Kemboja yang kesemuanya merupakan lelaki;
vi. 2 tahanan warganegara Vietnam yang kesemuanya merupakan lelaki;
vii. Dan
viii. Masing-masing 1 tahanan lelaki dari Thailand, Nigeria, Togo, Pakistan, Liberia dan Filipina.

UCAPAN PENANGGUHAN – PERBELANJAAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

July 22nd, 2010 Tunku Aziz No comments

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Di pertua kerana mengizinkan saya membaca ucapan penangguhan Rancangan Malaysia ke 10 ini.

Rancangan Malaysia ke-sepuluh telah diumumkan pada bulan Jun dan ini adalah rancangan pembangunan lima tahun yang paling penting dalam pembangunan Malaysia. Ia merangkumi pembangunan semua sektor Negara termasuk bidang sosial, ekonomi, keselamatan dan pertadbiran am.

Angkatan tentera adalah tembok atau tulang belakang pertahanan keselamatan Negara. Boleh dikatakan tanpa pengorbanan anggota angkatan tentera dahulu dan sekarang, kita tidaklah dapat menikmati kesejahteraan dan keamanan pada hari ini.

Tetapi apa yang menghairankan ialah Rancangan Malaysia yang baru dibentang baru-baru ini, langsung tidak menyentuh pembangunan keupayaan pertahanan dan angkatan tentera. Dalam dokumen RMK 10 yang setebal 449 muka surat ini langsung tidak menyentuh sepatah perkataan mengenai pertahanan.

Berdasarkan maklumat am yang diberi oleh RMK 10, sektor keselamatan mendapat 10% dari RM230 billion peruntukan. Daripada jumlah tersebut, berapakah peruntukan dalam bidang pertahanan dan juga pecahan peruntukan kepada Polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera.

Selain itu, saya ingin menyentuh perkara senarai perolehan kelengkapan tentera dibawah RMK 10. Sebelum itu, saya telah menghantar soalan kepada kementerian pertahanan mengenai senarai perolehan kelengkapan untuk lima tahun depan, tetapi soalan saya ditolak kerana ianya didakwa menyentuh kerahsiaan.

Tambahan lagi, soalan-soalan saya yang menyentuh perolehan kelengkapan yang sedang dan siap dilaksanakan juga ditolak atas alasan yang sama. Saya ingin menegaskan di sini bahawa adalah tidak munasabah menolak soalan-soalan tersebut memandangkan isu-isu menyentuh rahsia ketenteraan tidak wujud.

Pertama, saya memahami pembelian kelengkapan tentera adalah sensitif dan perlu menjaga rahsia ketenteraan seperti unsur-unsur spesifikasi dan atur gerak.

Tetapi, soalan yang ditanya bukan bertujuan untuk mendapat rahsia ketenteraan seperti yang disebut, tetapi untuk mendapat maklumat latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan tentera yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan sendiri.

Jikalau Kementerian Pertahanan sendiri yang membuat pengumuman pembelian kelengkapan tersebut, maka ini tidaklah dikira sebagai rahsia lagi. Saya menyentuh:

1. pembelian Vera-E Radar Pasif dari Omnipol, Republik Czech yang telah beberapa kali dicatatkan dalam Laporan Tahunan Kementerian Pertahanan 2007 dan 2008. Dan laporan tersebut telah menyatakan projek timbal balas Vera-E sedang dipantau oleh kementerian.

2. pembelian Cruise Missile diumumkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan sendiri di Dewan Rakyat.

3. Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang telah menunjukkan peluru berpandu Taming Sari XK98 keseluruh negara pada 31 Ogos 2007 bersempena Perarakan Merdeka 2007 di Dataran Merdeka.

Kedua, pembelian kelengkapan ketenteraan adalah mengguna peruntukan awam dan perlu mendapat persetujuan Parlimen. Oleh itu, adalah munasabah dan kepatutuan untuk ahli parlimen membincang dan mengetahui latar belakang atau basic information (dengan izin) pembelian kelengkapan ketenteraan yang mahal ini.

Ketiga, Ahli Parlimen dan rakyat mempunyai hak untuk mengetahui senarai pembelian kelengkapan ketenteraan yang akan dilancar pada lima tahun depan iaitu dalam Rancangan Malaysian Kesepuluh. Memandangkan pembelian kelengkapan ketenteraan adalah sangat mahal dan mudah berlaku penyelewengan, maka adalah perlu dipantau oleh Parlimen dan rakyat supaya berselaras dengan prinsip-prinsip good governance (dengan izin) dan meningkatkan lagi ketelusan kerajaan.

8 Billion untuk membeli 257 buah Kereta Perisai AV8

Kerajaan baru mengumumkan di DSA 2010 pada 20 April 2010 yang mana akan membelanja RM 8 billion yang mana adalah perolehan terbesar dalam sejarah Malaysia untuk memperolehi 257 buah kereta perisai pembawa anggota AV8 dari syarikat DEFTECH dan FNSS supaya mengganti semua kereta Condor dan Sibmas yang sudah usang. Ini bermaksud, secara amnya , setiap AV8 berkos RM31 juta!

Walaupun difahamkan RM8 bilion ini merangkumi RM 400 juta bagi membangunkan kemudahan DEFTECH di Pekan, dan juga kos R&D dan integrasi dan ujian, namun angka tersebut tidaklah munasabah sehingga mencecah beberapa billion ringgit. Selain itu, berbanding dengan program pembangunan kereta perisai 8×8 di luar Negara, ia juga dilihatkan satu jumlah yang amat tinggi. Mengikut kajian, purata kos sebuah kereta perisai 8×8 ialah 2 -3 juta USD, atau dalam RM ialah 10 juta lebih. Kenapa AV8 kita ini mahal hampir dua kali ganda dari luar negeri?

Pihak Kementerian juga tidak menjelaskan bagaimana RM8 bilion ini diguna dalam pecahan kos R&D, ujian, integrasi, pembangunan infrastruktur, kos pembelian harta intelek dari Turkey’s FNSS Company dan unit kos. Kenapa perolehan ini adalah melalui direct negotiation (dengan izin), bukan secara tender terbuka memandangkan ia menelan wang yang begitu tinggi.

Soalan Bujet 2010

Anggaran perbelanjaan mengurus 2010 telah menunjukkan penurunan dalam bidang latihan, logistic, operasi dan pengurusan. Adakah penurunan yang banyak ini akan menjejaskan quality latihan dan keberkesanan melaksanakan operasi-operasi? Tetapi, di sini telah timbul satu soalan. Mengikut permerhatian terhadap prestasi budget KEMENTAH, difahamkan bahawa KEMENTAH secara kebiasaannya membuat anggaran perbelanjaan tahun depan kurang dari sebenar yang diperlukan. Misalnya, dalam budget 2009 menunjukkan anggaran perbelanjaan latihan untuk pertahanan darat 2008 adalah RM35,472,600. Tapi, di dalam budget 2008 untuk perkara sama adalah dicatatkan sebagai RM19,072,600. Di manakah angka yang sebenarnya?

KEMENTAH sepatutnya memberi maklumat yang lebih tepat dalam budget tahunan. Janganlah memberi penilaian yang rendah dari sebenar atau diperlukan. Apakah dasar yang digunapakai KEMENTAH di dalam membuat anggaran ini? Apa statistic dan formula yang digunakan? Dan, adakah kerana tiap-tiap kali Kementerian memberi anggaran rendah mengakibatkan kementerian terpaksa memohon peruntukan tambahan dalam sidang dewan parlimen masa depan?

Selain itu, saya melihat anggaran perbelanjaan pembangunan untuk tiga perkhidmatan membeli perlengkapan yang dicatatkan di dalam budget 2010 ialah RM10. Mungkin pihak kementerian boleh jelaskan peruntukan RM10 yang dinyatakan tersebut.

Sekian ucapan penggulungan saya .

KAD PENGENALAN UNTUK PELARIAN

July 22nd, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 22 JULAI 2010

SOALAN:

Tunu Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah status pelan untuk mengeluarkan kad pengenalan untuk pelarian dan langkah-langkah yang akan diambil untuk membenarkan pelarian untuk bekerja seperti yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

JAWAPAN:

Tuan yang Di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Malaysia bukan merupakan signatory kepada 1951 Convention relating to the Status of Refugees, dengan demikian pada masa ini Kementerian tidak bercadang untuk mengeluarkan sebarang kad pengenalan mahupun memberikan kebenaran bekerja kepada golongan ini.

PENYERAHAN TANAH RIZAB TENTERA

July 22nd, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 22 JULAI 2010

SOALAN:

Tunu Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI KEWANGAN menyatakan rasional dan asas pemberian tanah rizab tentera di Lembah Klang kepada swasta tanpa mempunyai satu sistem lelongan uang berkepentingan umum.

JAWAPAN:

Tuan yang Di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, tanah rizab tentera di Lembah Klang tidak diberikan kepada syarikat swasta sebaliknya diberikan kepada syarikat Kerajaan dan badan berkanun Persekutuan untuk dibangunkan.