Archive

Archive for the ‘Parliament’ Category

UCAPAN PENANGGUHAN – PERBELANJAAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

July 22nd, 2010 Tunku Aziz No comments

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Di pertua kerana mengizinkan saya membaca ucapan penangguhan Rancangan Malaysia ke 10 ini.

Rancangan Malaysia ke-sepuluh telah diumumkan pada bulan Jun dan ini adalah rancangan pembangunan lima tahun yang paling penting dalam pembangunan Malaysia. Ia merangkumi pembangunan semua sektor Negara termasuk bidang sosial, ekonomi, keselamatan dan pertadbiran am.

Angkatan tentera adalah tembok atau tulang belakang pertahanan keselamatan Negara. Boleh dikatakan tanpa pengorbanan anggota angkatan tentera dahulu dan sekarang, kita tidaklah dapat menikmati kesejahteraan dan keamanan pada hari ini.

Tetapi apa yang menghairankan ialah Rancangan Malaysia yang baru dibentang baru-baru ini, langsung tidak menyentuh pembangunan keupayaan pertahanan dan angkatan tentera. Dalam dokumen RMK 10 yang setebal 449 muka surat ini langsung tidak menyentuh sepatah perkataan mengenai pertahanan.

Berdasarkan maklumat am yang diberi oleh RMK 10, sektor keselamatan mendapat 10% dari RM230 billion peruntukan. Daripada jumlah tersebut, berapakah peruntukan dalam bidang pertahanan dan juga pecahan peruntukan kepada Polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera.

Selain itu, saya ingin menyentuh perkara senarai perolehan kelengkapan tentera dibawah RMK 10. Sebelum itu, saya telah menghantar soalan kepada kementerian pertahanan mengenai senarai perolehan kelengkapan untuk lima tahun depan, tetapi soalan saya ditolak kerana ianya didakwa menyentuh kerahsiaan.

Tambahan lagi, soalan-soalan saya yang menyentuh perolehan kelengkapan yang sedang dan siap dilaksanakan juga ditolak atas alasan yang sama. Saya ingin menegaskan di sini bahawa adalah tidak munasabah menolak soalan-soalan tersebut memandangkan isu-isu menyentuh rahsia ketenteraan tidak wujud.

Pertama, saya memahami pembelian kelengkapan tentera adalah sensitif dan perlu menjaga rahsia ketenteraan seperti unsur-unsur spesifikasi dan atur gerak.

Tetapi, soalan yang ditanya bukan bertujuan untuk mendapat rahsia ketenteraan seperti yang disebut, tetapi untuk mendapat maklumat latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan tentera yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan sendiri.

Jikalau Kementerian Pertahanan sendiri yang membuat pengumuman pembelian kelengkapan tersebut, maka ini tidaklah dikira sebagai rahsia lagi. Saya menyentuh:

1. pembelian Vera-E Radar Pasif dari Omnipol, Republik Czech yang telah beberapa kali dicatatkan dalam Laporan Tahunan Kementerian Pertahanan 2007 dan 2008. Dan laporan tersebut telah menyatakan projek timbal balas Vera-E sedang dipantau oleh kementerian.

2. pembelian Cruise Missile diumumkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan sendiri di Dewan Rakyat.

3. Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang telah menunjukkan peluru berpandu Taming Sari XK98 keseluruh negara pada 31 Ogos 2007 bersempena Perarakan Merdeka 2007 di Dataran Merdeka.

Kedua, pembelian kelengkapan ketenteraan adalah mengguna peruntukan awam dan perlu mendapat persetujuan Parlimen. Oleh itu, adalah munasabah dan kepatutuan untuk ahli parlimen membincang dan mengetahui latar belakang atau basic information (dengan izin) pembelian kelengkapan ketenteraan yang mahal ini.

Ketiga, Ahli Parlimen dan rakyat mempunyai hak untuk mengetahui senarai pembelian kelengkapan ketenteraan yang akan dilancar pada lima tahun depan iaitu dalam Rancangan Malaysian Kesepuluh. Memandangkan pembelian kelengkapan ketenteraan adalah sangat mahal dan mudah berlaku penyelewengan, maka adalah perlu dipantau oleh Parlimen dan rakyat supaya berselaras dengan prinsip-prinsip good governance (dengan izin) dan meningkatkan lagi ketelusan kerajaan.

8 Billion untuk membeli 257 buah Kereta Perisai AV8

Kerajaan baru mengumumkan di DSA 2010 pada 20 April 2010 yang mana akan membelanja RM 8 billion yang mana adalah perolehan terbesar dalam sejarah Malaysia untuk memperolehi 257 buah kereta perisai pembawa anggota AV8 dari syarikat DEFTECH dan FNSS supaya mengganti semua kereta Condor dan Sibmas yang sudah usang. Ini bermaksud, secara amnya , setiap AV8 berkos RM31 juta!

Walaupun difahamkan RM8 bilion ini merangkumi RM 400 juta bagi membangunkan kemudahan DEFTECH di Pekan, dan juga kos R&D dan integrasi dan ujian, namun angka tersebut tidaklah munasabah sehingga mencecah beberapa billion ringgit. Selain itu, berbanding dengan program pembangunan kereta perisai 8×8 di luar Negara, ia juga dilihatkan satu jumlah yang amat tinggi. Mengikut kajian, purata kos sebuah kereta perisai 8×8 ialah 2 -3 juta USD, atau dalam RM ialah 10 juta lebih. Kenapa AV8 kita ini mahal hampir dua kali ganda dari luar negeri?

Pihak Kementerian juga tidak menjelaskan bagaimana RM8 bilion ini diguna dalam pecahan kos R&D, ujian, integrasi, pembangunan infrastruktur, kos pembelian harta intelek dari Turkey’s FNSS Company dan unit kos. Kenapa perolehan ini adalah melalui direct negotiation (dengan izin), bukan secara tender terbuka memandangkan ia menelan wang yang begitu tinggi.

Soalan Bujet 2010

Anggaran perbelanjaan mengurus 2010 telah menunjukkan penurunan dalam bidang latihan, logistic, operasi dan pengurusan. Adakah penurunan yang banyak ini akan menjejaskan quality latihan dan keberkesanan melaksanakan operasi-operasi? Tetapi, di sini telah timbul satu soalan. Mengikut permerhatian terhadap prestasi budget KEMENTAH, difahamkan bahawa KEMENTAH secara kebiasaannya membuat anggaran perbelanjaan tahun depan kurang dari sebenar yang diperlukan. Misalnya, dalam budget 2009 menunjukkan anggaran perbelanjaan latihan untuk pertahanan darat 2008 adalah RM35,472,600. Tapi, di dalam budget 2008 untuk perkara sama adalah dicatatkan sebagai RM19,072,600. Di manakah angka yang sebenarnya?

KEMENTAH sepatutnya memberi maklumat yang lebih tepat dalam budget tahunan. Janganlah memberi penilaian yang rendah dari sebenar atau diperlukan. Apakah dasar yang digunapakai KEMENTAH di dalam membuat anggaran ini? Apa statistic dan formula yang digunakan? Dan, adakah kerana tiap-tiap kali Kementerian memberi anggaran rendah mengakibatkan kementerian terpaksa memohon peruntukan tambahan dalam sidang dewan parlimen masa depan?

Selain itu, saya melihat anggaran perbelanjaan pembangunan untuk tiga perkhidmatan membeli perlengkapan yang dicatatkan di dalam budget 2010 ialah RM10. Mungkin pihak kementerian boleh jelaskan peruntukan RM10 yang dinyatakan tersebut.

Sekian ucapan penggulungan saya .

KAD PENGENALAN UNTUK PELARIAN

July 22nd, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 22 JULAI 2010

SOALAN:

Tunu Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah status pelan untuk mengeluarkan kad pengenalan untuk pelarian dan langkah-langkah yang akan diambil untuk membenarkan pelarian untuk bekerja seperti yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

JAWAPAN:

Tuan yang Di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Malaysia bukan merupakan signatory kepada 1951 Convention relating to the Status of Refugees, dengan demikian pada masa ini Kementerian tidak bercadang untuk mengeluarkan sebarang kad pengenalan mahupun memberikan kebenaran bekerja kepada golongan ini.

PENYERAHAN TANAH RIZAB TENTERA

July 22nd, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 22 JULAI 2010

SOALAN:

Tunu Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI KEWANGAN menyatakan rasional dan asas pemberian tanah rizab tentera di Lembah Klang kepada swasta tanpa mempunyai satu sistem lelongan uang berkepentingan umum.

JAWAPAN:

Tuan yang Di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, tanah rizab tentera di Lembah Klang tidak diberikan kepada syarikat swasta sebaliknya diberikan kepada syarikat Kerajaan dan badan berkanun Persekutuan untuk dibangunkan.

Taklimat GST Hanya Untuk Ahli Parlimen BN

May 6th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM SENATOR TUNKU ABDUL AZIZ IBRAHIM PADA 6 MEI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah tahap rahsia yang ada di dalam Kementerian sehingga taklimat GST 8 Mac 2010 diadakan untuk Ahli Parlimen Barisan Nasional.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, taklimat GST pada 8 Mac 2010 yang lalu merupakan satu sesi tertutup yang dikhaskan kepada Ahli-ahli Parlimen sahaja. Sesi tersebut merupakan antara program penerangan dan kesedaran GST yang sedang dijalankan oleh Kerajaan kepada rakyat. Program-program yang dijalankan ini diharapkan dapat memberi kefahaman yang baik kepada rakyat mengena mekanisme dan model GST yang dicadangkan di Malaysia, kesan pelaksanaan GST dan langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan di dalam menangani sebarang isu berbangkit dari pelaksanaan GST.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags:

Statistik EO & RRA 2009

May 6th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN BERTULIS DEWAN NEGARA YBM SENATOR TUNKU ABDUL AZIZ IBRAHIM BAGI SIDANG MEI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilangan tahanan Emergency (Public Order and Prevention of Crime) Ordinance (EO) yang ditahan, dibebaskan dan dikenankan Akta Kediaman Terhad (RRA) sejak Januari 2009 hingga Disember 2009.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim yang mengemukakan soalan.

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, berdasarkan statistik bagi tahun 2009, seramai 760 orang yang telah dikenakan Perintah Tahanan di bawah Emergency Ordinance (Public Order and Prevention of Crime) (EO) 1969 sejak Januari 2009 hingga Disember 2009. Dari jumlah tersebut, seramai 39 orang tahanan telah dibebaskan selepas representasi terhadap Perintah Tahanan mereka dibuat di hadapan Lembaga Penasihat. Manakala bagi Perintah Sekatan pula, seramai 247 orang telah dikenakan Perintah Sekatan di bawah Emergency Ordinance (Public Order and Prevention of Crime) (EO) sejak Januari 2009 hingga Disember 2009.

Merujuk kepada Akta Kediaman Terhad (RRA) 1933 pula, seramai 42 orang telah dikenakan sekatan di bawah akta tersebut sejak Januari 2009 hingga Disember 2009.

MEMPERTAHANKAN MALAYSIA DARI KUASA LUAR

May 6th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN PARLIMEN DEWAN RAKYAT YBM TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM PADA 6 MEI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta PERDANA MENTERI menyatakan laporan penilaian terhadap penubuhan Angkatan Marin dalam mempertahankan kepulauan-kepulauan Malaysia dari menjadi perebutan dengan kuasa kuar.

JAWAPAN:

YB DATUK LIEW VUI KEONG
TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang Di Pertua,

Kesemua Agensi Penguatkuasa Maritim (APM) Negara dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah, sedang dan akan terus melaksanakan tindakan-tindakan yang selaras dengan perundangan negara dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan pulau-pulau dan entiti geografi yang berada dalam perairan Malaysia sentiasa selamat dan sentiasa dipertahankan. Antara tindakan-tindakan yang diambil dalam usaha mempertahankan kepulauan dan entiti geografi negara Malaysia dari perebutan kuasa luar adalah seperti berikut:

i. Pelaksanaan rondaan pengawasan harian secara berterusan oleh APM Negara dan TLDM;
ii. Menguatkuasakan undang-undang maritim negara di kawasan tersebut;
iii. Menggazet dan menamakan semua pulau dan entiti geografi yang terdapat dalam perairan negara;
iv. Merekodkan semua rondaan yang dilaksanakan;
v. Mewujudkan kehadiran di seluruh kawsan perairan negara terutamanya kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih maritim; dan
vi. Membina sruktur monumen fizikal di pulau-pulau dan entiti geografi negara bagi tujuan pengukuhan kedaulatan seperti di Batuan Tengah, Tawau dan Pulau Layang-layang.

Sekian, terima kasih.

Categories: Dewan Negara, Malaysia, Parliament Tags:

United Nations Convention on the Law of the Sea 1982

May 5th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA YBM SENATOR TUNKU ABDUL AZIZ IBRAHIM PADA 6 MEI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan pandangan Kerajaan mengenai penjelasan Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Lee Chee Leong dalam menjawab soalan media online KL Security 22 September 2009 menyokong cadangan pembangunan bersama Laut Cina Selatan.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih kepada YBM Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim di atas soalan yang dikemukakan.

2. Seperti yang telah dimaklumkan di dalam dewan yang mulia ini, wujud tuntutan bertindih kawasan maritim dan tuntutan bertindih ke atas ciri-ciri geografi di kawasan seperti pulau, terumbu dan sebagainya yang terletak di kawasan Laut Cina Selatan. Tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan ini melibatkan Malaysia, Vietnam, Brunei Darussalam, Filipina dan Republik Rakyat China.

3. Republik Rakyat China menuntut keseluruhan Laut China Selatan termasuklah Kepulauan Spratlys. Walau bagaimanapun, tuntutan Republik Rakyat China ini adalah dipertikaikan kerana ia tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 – UNCLOS 1982). Malaysia berpendirian bahawa pulau dan terumbu di dalam kawasan pelantar Benua Malaysia adalah milik Malaysia.

4. Sehingga kini, Malaysia tidak melaksanakan sebarang pembangunan bersama dengan mana-mana negara di kawasan luar pantai Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan, ini adalah selaras dengan pendirian Negara bahawa kawasan pelantar benua yang dituntut oleh Malaysia adalah kepunyaan Malaysia dan sebarang cadangan tindakan bersama dengan Negara lain perlu diperhalusi dengan sewajarnya.

5. untuk makluman YBM selanjutnya, isu berhubung tuntutan ke atas pulau-pulau dan terumbu ini ditangani berasaskan kepada semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China pada 4 November 2002. Melalui Deklarasi ini, pihak-pihak yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan bertekad untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan berhubung tuntutan wilayah maritim bertindih di Laut Cina Selatan dan mencari penyelesaian secara damai melalui jalan perundingan tanpa menggunakan kekerasan ataupun gutan. Usaha-usaha juga diambil bagi membina keyakinan (confidence building) di antaran Negara-negara yang terlibat.

6. Malaysia sentiasa peka dengan isu-isu yang melibatkan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau dan wilayah Malaysia. Usaha-usaha sentiasa dilaksanakan demi mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim berkenaan. Malaysia sentiasa mewujudukan rundingan dua hala dengan negara jirannya bagi membataskan sempadan maritim di kawasan di mana belum ada lagi perjanjian sempadan maritim. Malaysia berpendirian bahawa tuntutan bertindih wajar diselesaikan melalui meja rundingan dan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian.

Sekian, terima kasih.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags:

Kawasan Tadahan Bagi Mengatasi Masalah Kekurangan Air

April 29th, 2010 Tunku Aziz No comments

Soalan parlimen Dewan Negara YBM Senator Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim pada 29 April 2010

SOALAN:

Tuan Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan alasan Kerajaan untuk tidak menggazetkan empangan di Bekok, Semborong Timur dan Machap sebagai kawasan tadahan air sejak 30 tahun lalu sehingga menimbulkan masalah kekeringan air.

JAWAPAN:

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambilalih kawasan-kawasan empangan daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani termasuk empangan Bekok, Sembrong dan Macap pada tahun 2004. Pihak Kementerian menyedari keperluan untuk menggazet keseluruhan kawasan tadahan air ini adalah untuk memudahkan kawalan ke atas kawasan tadahan empangan yang seterusnya akan memberi impak kepada kualiti air. Oleh itu, pihak Kementerian dalam usaha menggazet semua empangan di bawahnya.

Masalah kekeringan air ini tidak ada kaitan dengan penggazetan, sebaliknya adalah disebabkan oleh cuaca panas yang melampau dipercayai kesan daripada pemanasan global.

Sekian, terima kasih.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags:

Mahkamah Hak Asasi ASEAN

April 28th, 2010 Tunku Aziz No comments

Soalan parlimen Dewan Negara YBM Senator Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim pada 28 April 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan alasan bagi Kerajaan untuk tidak melobi sebuah Mahkamah Hak Asasi ASEAN.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tunku Abdul Aziz di atas soalan yang dikemukakan.

2. Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Kerajaan tidak berhasrat untuk melobi penubuhan sebuah Mahkamah Hak Asasi ASEAN buat masa ini kerana ASEAN baru sahaja menubuhkan suatu badan hak asasi manusia ASEAN yang dinamakan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights), dengan izin, semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Cha-am Hua Hin, Thailand pada 23 Oktober 2009. Penubuhan Suruhanjaya ini adalah selaras denan Perkara 14 Piagam ASEAN di mana fungsi badan tersebut adalah untuk menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia serta kebebasan asasi di rantau Asia Tenggara.

3. Walaupun Suruhanjaya ini masih dalam peringkat awal operasinya, Kementerian Luar Negeri yakin Suruhanjaya ini akan menjadi sebuah badan hak asasi manusia yang kredibel di rantau dalam masa terdekat. Suruhanjaya ini akan mempunyai Pelan Kerja Lima (5) Tahun yang menggariskan secara terperinci usaha-usaha uang akan diambil untuk mengukuhkan fungsinya dan menentukan hala tuju yang seterusnya dalam tempoh lima (5) tahun bermula tahun ini.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags:

JAWAPAN PERTANYAAN LISAN DEWAN NEGARA 26 APRIL 2010: TUN MUSA HITAM MEMBERI ARAHAN MENEMBAK PENDUDUK MEMALI?

April 26th, 2010 Tunku Aziz No comments

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan keadaan sewaktu peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985 yang mana spekulasi mendakwa Tun Musa Hitam membei arahan untuk menembak mati dua penduduk kampung.

JAWAPAN:

Tuan yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Yang Berhormat Senator, spekulasi yang mendakwa Tun Musa Hitam memberi arahan untuk menembak dua orang penduduk kampung semasa peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985 adalah tidak benar. Pada 19 November 1985, pihak polis telah menjalankan operasi untuk menangkap Ibrahim Mahmud dan 35 orang pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang menggugat keselamatan negara.

Semasa operasi tersebut, pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim Mahmud dengan bersenjatakan senjata api, parang, pedang dan buluh runcing. Pihak polis telah menyeru kepada penyokong-penyokong Ibrahim Mahmud supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman. Demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut, pihka polis terpaksa menggunakan senajta api dan melepaskan tembakan.

Peristiwa tersebut telah mengorbankan 4 orang anggota polsi dan 14 orang awam termasuk Ibrahim Mahmud manakala 23 anggota polis dan 14 orang awam mengalami kecederaan.

Categories: Dewan Negara, Parliament Tags: