Archive

Posts Tagged ‘kementerian kesihatan’

Program NSEP bagi Mengurangkan Penyebaran HIV / AIDS

July 19th, 2010 Tunku Aziz No comments

JAWAPAN LISAN DEWAN NEGARA TUNKU ABDUL AZIZ PADA 19 JULAI 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta MENTERI KESIHATAN menyatakan keberkesanan Program Pertukaran Jarum dan Picagari dalam mengurangkan penyebaran HIV/AIDS dan statistik berkaitan.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Pertukaran Jarum dan Picagari (NSEP) yang merupakan salah satu komponen program pengurangan mudarat sejak Februari 2006. Perlaksanaan program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV/AIDS di kalangan penagih dadah suntikan. Program NSEP ini telah dilaksanakan dengan komitmen dan kerjasama Kerajaan dan badan bukan kerajaan khususnya Majlis AIDS Malaysia. Sehingga Mac 2010 sebanyak duabelas (12) buah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia telah melaksanakan aktiviti tersebut di 279 lokasi, Sebanyak 22 buah klinik kesihatan kerajaan turut terlibat melaksanakan aktiviti tersebut. Sehingga Mac 2010, seramai 19,911 orang klien (penagih dadah suntikan) telah mengikuti program ini.

Pengalaman di 71 buah negara yang melaksanakan program pengurangan mudarat khususnya program NSEP telah membuktikan bahawa pendekatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan HIV di kalangan penagih dadah suntikan di negara yang melaksanakannya. Di Malaysia, peratus jangkitan HIV di kalangan penagih dadah yang dilaporkan di Malaysia telah menunjukkan penurunan 66% pada tahun 2005 kepada 55% pada tahun 2009 berikutan perlaksanaan program pengurangan mudarat termasuk NSEP pada tahun 2006. Kajian Integrated Bio Behavioural Surveillance (IBBS) 2009 yang dilaksanakan ke atas 630 orang penagih dadah suntikan di Lembah Klang, mendapati peratus amalan berkongsi jarum (semasa menagih) telah menurun kepada 12.7% berbanding 42.1% pada tahun 2004. Kekerapan berkongsi jarum juga menurun di mana 2.3% peratus penagih dadah suntikan ini berkongsi jarum lebih dari lima kali seminggu (IBBS 2009) berbanding 15.9% pada tahun 2004. Kesedaran dan pengetahuan penagih dadah mengenai HIV / AIDS didapati tinggi dengan 95% daripada penagih dadah tersebut mempunyai pengetauan mengenai HIV. Jelas bahawa perlaksanaan program pengurangan mudarat termasuk NSEP telah dapat mengurangkan penularan HIV di kalangan kumpulan sasar di Malaysia.